MAKLUMAN :


widgeo.net

Tuesday, February 17, 2009

Mahu Berhutang ?


(Jawapan Pada Persoalan Saudara Karkun)

Tidak dinafikan dalam asam garam kehidupan kita pasti kita tidak dapat lari dari berhutang. Rasulullah saw dan sahabat pun ada berhutang. Namun mereka berhutang atas maksud keagamaan atau pun perkara asas di dalam kehidupan. Rasulullah saw selalu berhutang bagi maksud membantu fakir miskin. Pernah datang seorang fakir miskin meminta sesuatu kepada Rasulullah saw yang mana pada ketika itu Rasulullah saw tiada apa sesuatu untuk diberi kepada fakir miskin berkenaan. Namun baginda mengarahkan sesaorang memberi kepada fakir berkenaan yang dihutangkan atas nama Rasulullah saw.

Pernah juga diriwayatkan yang Rasulullah pernah berhutang dengan Yahudi, yang mana dikatakan Yahudi tadi datang meminta hutangnya sebelum sampai hari yang dijanjikan. Sahabat Bilal ra juga pernah berhutang dengan seorang kafir musyrik yang mana ia telah datang meminta dilunasi juga sebelum hari yang dijanjikan.Malah kebanyakan sahabat memang berhutang namun hutang mereka dengan rahmat Allah swt telah diselesaikan sebelum mereka meninggal. Namun begitu ramai dikalangan sahabat begitu takut untuk berhutang dan kalau berhutang pun berusaha melunasinya dengan kadar segera.

Menjadi persoalan besar hari ini di dalam masyarakat kita, rata-rata suka berhutang. Behutang bukan kerana keagamaan atau pada perkara asas tetapi berhutang di atas perkara bermegah-megah dan perkara bermewah-mewah. Akhirnya diselebungi dengan bebanan hutang yang banyak. Ditambah lagi dengan sistem pinjaman yang tidak syar’i, maka bertumpuk-tumpuk hutang sekeliling pinggang. Hutang rumah, hutang kereta, hutang motor, hutang kad kredit, hutang perabut, hutang komputer, hutang pinggan mangkuk, hutang belajar, hutang berkahwin dan macam-macam lagi. Pendek kata tiada satu pun barangan di dalam rumah yang tidak berhutang, semuanya hutang belaka.

Bila berhutang, lambat pula melunasinya. Belum selesai hutang lama, hutang yang baru pula yang dibuat. Kereta sentiasa bertukar baru, perabot sentiasa silih berganti, handphone pula jika ada model terbaru pasti akan diganti. Hutang lama belum selesai hutang baru bertambah-tambah. Akhirnya dibelit dengan masaalah dan bebanan hutang.

Maka persoalan hutang ini adalah satu persoalan yang sangat berat yang kita perlu berhati-hati. Ini adalah kerana hutang ini berkaitan dengan muamalat dan muasyarat sesama manusia. Walau pun hebat keagamaan sesaorang itu namun jika tersangkut dengan manusia melalui persoalan hutang maka akan menyebabkan ia terhalang jalan ke syurga.

Sebagaimana sabdaan Rasulullah saw :

Dari Muhamad bin Abdullah bin Jahsy r.huma, menceritakan, “ Kami sedang duduk di serambi masjid (nabawi) yang ketika itu terdapat beberapa jenazah yang diletakan sedang Rasulullah duduk di tengah-tengah kami. Tiba-tiba beliau mengangkat pandangannya melihat ke arah langit lalu menundukan pandangannya serta meletakan tangannya ke atas dahinya.(mengambarkan kerisauan). Lalu beliau berkata,”Subhanallah! , Subhanallah! Peringatan keras tentang sesuatu telah turun. Muhammad bin Abdullah r.huma melanjutkan ceritanya: Kami tetap diam sepanjang hari dan malam itu, tetapi kami merasa tidak ada kebaikan terus berdiam sehingga ke pagi. Muhammad bin Abdullah r.huma melanjutkan lagi, :” Maka aku pun bertanya kepada Rasulullah saw,”Peringatan yang keras tentang apa yang telah turun?” Rasulullah saw menjawab,” Tentang hutang. Demi Zat yang diri Muhammad (saw) di dalam genggamannya! Seandainya sesaorang terbunuh (syahid) di jalan Allah, kemudian hidup lagi, kemudian terbunuh lagi di jalan Allah, kemudian hidup lagi sedangkan ia memiliki hutang, niscaya tidak akan masuk Syurga, sehingga hutangnya dilunasi.” (H/R Ahmad V/289)

Sabda Rasulullah saw lagi :

Dari Salman bin Akwa’ r.a meriwayatkan bahawa telah didatangkan kepada Nabi saw satu jenazah untuk disolati, lalu beliau bertanya “Apakah jenazah ini memiliki hutang?” Mereka (para sahabat) menjawab,”Tidak.” Maka beliau pun menyolatinya. Kemudian dibawa lagi satu jenazah lain di hadapan beliau. Lalu beliau bertanya, “ Apakah jenazah ini memiliki hutang?” Mereka menjawab, “Ya.” Nabi saw bersabda,” Solati saja oleh kamu semua jenazah kawan kamu ini!” Abu Qatadah menyahut,”Wahai Rasulullah, saya yang akan menanggung hutangnya.” Maka Rasulullah saw pun menyolati nya.” (H/R Bukhari No.2295)

Untuk ini setiap kita patut berhati-hati dalama masaalah hutang. Jangan berhutang melainkan tersangat perlu. Dan jika terpaksa berhutang biarlah kita berhutang dengan kadar yang bersesuaian dengan kemampuan kita dan berkeyakinan kita mampu melunasinya. Sebaiknya berhutanglah di atas perkara yang disukai Allah swt.Sebagaimana disebutkan di dalam hadis :

Dari Abdullah bin Ja’far r.huma berkata bahawa Rasulullah saw bersabda,” Allah bersama-sama orang yang berhutang sehingga ia melunasi hutangnya, selama ia tidak berhutang untuk sesuatu yang tidak disukai oleh Allah.”( H/R Ibn Majah No.2409)

Selain itu jangan sekali-kali berhutang dengan kaedah yang tidak syar’i, kaedah sistem riba (along).Sistem riba ini bukan sahaja dibebani dengan hutang malah dilaknati oleh Allah dan Rasulnya. Hidup akan bertambah sempit dan keluh kesah. Disabitkan dari sabdaan Nabi saw bahawa mereka-mereka yang banyak berhutang ini akan mendapati maruahnya tercemar di siang hari dan keluh kesah di malam hari. Apa tidaknya siang hari dicari oleh pemberi hutang, kawan-kawan akan hilang sebab hutang tak bayar. Malam hari tak dapat tidur memikirkan soal hutang yang banyak.

Sesiapa yang berhutang berusahalah untuk membayar dengan kadar segera sebelummaut datang menyambar kita. Na’uzubillah!. Fikirkan saol hutang diselesaikan dahulu dari perkara dunia yang lain. Ini adalah tuntutan syar’i bagi setiap muslim.

Dari Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah saw bersabda, “Seandainya aku memiliki emas sebesar gunung Uhud, Maka aku tidak suka menyimpanya melebihi tiga hari, kecuali sebahagian kecilnya aku simpan untuk membayar hutang.(H/R Bukhari No.2389)”

Ingat semua (intonasi seperti Upin dan Ipin)

“TIADA KEBAHAGIAN KALAU HIDUP DIPENUHI HUTANG”


Fikir-fikirkanlah wahai saudaraku semua.

p/s : Akan menyusul adab-adab berhutang dan memberi hutang. Insyaallah.Doakan semua untuk penulis yang lemah ini.

1 comment:

Abu Muaz Al-Labuwi said...

Ya ALlah jauhkan hambamu beban hutang

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin