MAKLUMAN :


widgeo.net

Thursday, January 22, 2009

PERSOALAN MENGGERAKKAN JARI KETIKA TAHIYYAT


(Jawapan pada persoalan Rafai Rembau Utama)

Ketahuilah bahawa Imam Al-Hafiz Mahyiddin An-Nawawi rhm telah ditanya di dalam kitabnya Al-Fatawa tentang isu mengerakkan jari (telunjuk) di dalam solat. Pertanyaan itu berbunyi : “Adakah menggerakkan jari telunjuk pada tangan kanan itu disunatkan.? Bilakah waktu yang sesuai untuk menggerakan jari tersebut? Adakah menggerakkanya secara berterusan itu membatalkan solat?”- hingga tamat soalan.
Maka Imam al-Nawawi rhm menjawab : “Disunatkan mengangkat jari telunjuk dari tangan kanan ketika melafazkan huruf ‘hamzah’ pada kalimah ( La ilaha illah ) sekali sahaja tanpa menggerak-gerakkanya Sekiranya seseorang itu mengulangi pergerakannya berkali-kali, maka hukumnya adalah makruh. Hal ini tidak membatalkan solat. Demikian menurut pendapat yang sahih. Dikatakan juga, iaitu menurut pendapat yang lemah batal solatnya”… Tamat Fatwa Al-Nawawi m/s 54
Dalam menyelesaikan masalah ini, kami akan mendedahkan bukti-bukti mereka yang mengatakan bahawa sunat menggerakkan jari telunjuk secara berterusan. Kemudian kita akan membincangkan dalil-dalil tersebut satu persatu. Kami juga akan menjelaskan bahawa dalil-dalil yang dipergunakan oleh mereka di atas itu tidak sesuai. Hal ini diperolehi berdasarkan hujah-hujah dan bukti yang terang lagi bersuluh. Insya Allah…
Disamping itu, kita juga akan menjelaskan dalil yang mengatakan bahawa tidak disunatkan mengerakkan jari telunjuk secara berterusan menerusi pandangan para ulamak yang muhaqqiq.

Pendapat para ulamak Mazhab :
1)Di dalam kitab Auni Al-Ma’bud m/s 455 juz 3 dinyatakan bahawa Syeikh Salamullah berkata di dalam Syarah Muwattha dengan katanya “Pada hadis Wail bin Hujr menurut Abu Daud yang berbunyi “Kemudian Baginda mengangkat jari telunjuknya, lalu saya dapati Baginda menggerakkan jari telunjuknya sambil berdoa”.
Hadis ini menjelaskan adanya perbuatan menggerakkan jari telunjuk ketika bertasyahhud. Inilah pendapat yang diambil oleh Imam Malik dan kebanyakkan ulamak. Perkara inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “menggerakkan jari”. Dan maksud yang diputuskan di sini tidak ada percanggahan dengan riwayat yang telah dibawa oleh Imam Muslim daripada Abdullah bin al-Zubair yang bermaksud “Adalah Rasulullah SAW menyisyaratkan jari telunjuknya sambil berdoa tanpa menggerakkannya.” -tamat “Auni Al-Ma’bud”
2) Berkata penulis kitab Ar-Raudh Al-Marba’ Al-Hanbali m/s 59 juz 1 : “Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya tanpa menggerakkan jari Baginda ketika bertasyahhud dan doanya di dalam solat dan selainnya. Perbuatan ini dilakukan oleh Baginda ketika mana Baginda menyebut lafaz Allah SWT. Ianya sebagai suatu peringatan keatas tauhid”. –tamat dari ‘Ar-Raudh Al-Marba’ – kitab ini merupakan kitab mukhtasar yang muktamad (dipegangi) dikalangan ulamak Al-Hanabilah.
3) Berkata pula Syeikh Al-Mazhab Al-Hanabilah iaitu Ibn Qudamah Al-Hanbali di dalam kitanya “Al-Mugni” m/s 534 juz 1 : “Dan baginda mengisyaratkan dengan jari telunjuk dengan mengangkatnya ketika Baginda menyebut lafaz Allah Taala ketika bertasyahhud. Perkara ini ditentukan berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin al-Zubair yang bermaksud : “Sesungguhnya Nabi SAW mengisyaratkan dengan jari telunjuknya dan Baginda tidak menggerakkannya”. Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Dawud. –Tamat.

Maksud Menggerakkan Jari Telunjuk
Ketahuilah (semoga kalian dirahmati Allah) bahawa perkara yang dimaksudkan oleh Sayyidina Wail bin Hujr pada lafaz ( La ilaha illah ) itu ialah menggerakkan jari telunjuk sekali sahaja. Ianya merupakan satu isyarat kepada tauhid. Hal ini amat bertepatan sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW yang tidak menggerakkan jari telunjuknya daripada awal tahiyyat. Akan tetapi baginda menggerakkannya ketika membaca ( La Ilaha illah ).
Adapun hadis Sayyidina Abdullah bin al-Zubair itu adalah menafi perbuatan menggerakkan jari secara berulang-ulang. Maknanya ialah perbuatan menggerakkan jari itu hanya cukup untuk sekali sahaja.
Jadi, kita dapati disini ialah tidak ada pertentangan antara dua hadis. Inilah penjelasan secara ringkas daripada para ulamak didalam menjelaskan masalah ini. Disini kami bawakan penjelasan beberapa orang ulamak yang kami naqalkan daripada kitab-kitab mereka:-
Imam An-Nawawi rhm di dalam “Al-Majmu’ Syarh Al-Muhadzab” m/s 455 juz 3, mengatakan “Ulamak mengatakan…hikmat meletakkan dua telapak tangan di atas dua paha ketika bertasyahhud ialah untuk mencegah daripada melakukan perkara yang sia-sia…”
Pada sudut yang sama, beliau menuqilkan pendapat Imam Al-Baihaqi sebagai berkata : “Sesungguhnya perkara yang dimaksudkan pada hadis riwayat Sayyidina Wail b. Hujr itu dengan lafaz “Dia menggerakkannya” ialah mengangkat jari telunjuk sekali sahaja. Iaitu tanpa menggerakkannya secara berterusan. Maksud ini bertepatan dengan apa yang telah diriwayatkan oleh Abdullah b. al-Zubair dengan Lafaz
“Dia (Nabi) tidak menggerakkannya”. Demikian perkataan Imam Al-Baihaqi yang dinuqilkan oleh Imam An-Nawawi ke dalam kitabnya “Al-Majmu’” daripada Sunan Al-Kubra – Al-Baihaqi m/s 132 juz 2. Kami bawakannya disini secara ringkas.
Dan sesungguhnya kami telah membawakan fatwa Imam Al-Nawawi yang mengatakan bahawa dimakruhkan menggerakkan jari secara berterusan di dalam solat. Turut menguatkan pendapat kami ini ialah apa yang telah diriwayatkan oleh Abu Daud di dalam Sunannya dengan sanad yang sahih daripada Numair Al-Khuzai’ie. Numair sebagai berkata : “Aku melihat Nabi SAW meletakkan telapak tangannya di atas paha kanan sambil membengkokkan sedikit jarinya.”
Adapun hadis “menggerakkan jari telunjuk itu terlebih berat keatas Syaitan daripada besi” tidak boleh dijadikan dalil untuk menggerakkan jari secara berterusan. Akan tetapi maksud sebenar hadis ini ialah orang-orang yang bertasyahhud itu apabila mereka mengangkat jari telunjuknya merupakan manifestasi isyarat tauhid, seolah-olah mereka memukul syaitan dengan besi.
Hadis ini bukan bermaksud syaitan itu berada dibawah telunjuk ketika kita menggerakkannya. Andaian yang mengatakan bahawa syaitan berada dibawah telunjuk hanyalah satu kesamaran sahaja. Dan dengan kesamaran inilah orang yang menggerakkannya itu beranggapan bahawa dia sedang memukul syaitan. Pendapat seperti ini tidak diperkatakan oleh orang-orang yang berakal.
Sebagai satu peringatan disini, dinyatakan bahawa hadis “menggerakan telunjuk itu terlebih dahulu berat keatas syaitan daripada besi” adalah dhaif dari sudut sanabnya. Pada sanad hadis ini terdapat seorang perawi yang dihukum tsiqah (dipercayai) oleh Ibn Hibban. Akan tetapi perawi itu juga dihukum dhaif oleh jumhur (kebanyakan ulamak)
Imam Al-Hafiz Ibn Hajr Al-Asqolani didalam “At-Taqrib At-Tahzib” menyatakan : “Katsier b. Zaid ialah ialah seorang yang benar. Tapi selalu membuat silap di dalam meriwayatkan hadis. Dia bukanlah perawi daripada Bukhari dan Muslim (Sahihain)
( Ehsan : Al Ghari )

2 comments:

abu wahap said...

terimakasih tuan.terjawap sudah kemusykilan saya selama ini.kebanyakan student dr Sudan menggerak2kan jari mereka ketika tahiyyat.saya mau bertanya pada mereka tapi saya segan.maklumlah ilmu saya tak sampai sebesar lubang jarum pun.jazakallah..

ibnu abdullah said...

salam ustaz

bagaimana pula dengan kedudukan tangan yang menutupi dada seolah-olah sakit dada sewaktu berdiri qiam?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin