MAKLUMAN :


widgeo.net

Friday, March 13, 2009

Sifat Khusus Pemiutang


Berikut beberapa perkara khusus yang ditujukan kepada pemiutang:

Pertama: Dianjurkan Memberi Hutang Oleh Orang Yang Mampu.

Memberi hutang kepada orang yang berada dalam kesempitan kewangan termasuk dalam keumuman hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

مَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ.
Sesiapa yang memudahkan orang yang berada dalam kesukaran,
Allah akan memudahkan ke atasnya urusan dunia dan akhirat.[1]

Ini kerana memberi hutang adalah satu bentuk sedekah:

كُلَّ قَرْضٍ صَدَقَةٌ.
Setiap pemberian hutang ialah sedekah.[2]

Bahkan memberi hutang ialah sedekah yang dibalas dengan ganjaran yang lebih besar:

دَخَلَ رَجُلٌ الْجَنَّةَ فَرَأَى مَكْتُوْبًا عَلَى بَابِهَا: الْصَّدَقَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا
وَالْقَرْضُ بِثَمَانِيَةَ عَشَرَ.
Seseorang memasuki syurga lalu melihat tertulis di atas pintunya:
Sedekah dibalas dengan sepuluh kali gandaan
manakala memberi hutang dibalas dengan lapan belas (kali gandaan).[3]

Oleh itu digalakkan memberi hutang dengan syarat pemiutang itu sendiri memiliki kelebihan harta. Jangan pula berhutang untuk memberi hutang.

Kedua: Mengutip Hutang Dengan Akhlak Yang Mulia.

Apabila pemiutang hendak mengutip atau meminta balik hutangnya, mintalah dalam suasana akhlak yang mulia. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

مَنْ طَالَبَ حَقًّا فَلْيَطْلُبْهُ فِي عَفَافٍ وَافٍ أَوْ غَيْرِ وَافٍ.
Sesiapa yang menuntut satu haknya (seperti hutang) maka tuntutlah dengan cara yang baik tanpa mengira (orang yang berhutang itu) membayar balik atau tidak membayarnya.[4]

Ketiga: Memberi Tangguh Kepada Penghutang.

Jika penghutang mengalami kesukaran untuk membayar hutangnya, maka dianjurkan kepada pemiutang untuk memberi tangguh sehinggalah dia mampu membayar semula. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,
maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya.” [al-Baqarah 2:280]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga bersabda:

رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ وَإِذَا اشْتَرَى وَإِذَا اقْتَضَى.
Allah merahmati seseorang yang bersikap lapang dada apabila membeli, menjual dan mengutip hutang.[5]

Keempat: Menjadikan Hutang Sebagai Modal Pelaburan.

Jika setelah diberi tangguh penghutang masih tidak mampu membayarnya, maka pemiutang memiliki pilihan agung untuk menjadikan hutang itu sebagai modal pelaburan. Iaitu jadikan hutang itu sebagai sedekah sepenuhnya kepada penghutang. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman:

Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup,
maka (1) berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (2) (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalaulah kamu mengetahui. [al-Baqarah 2:280]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

إِنَّ رَجُلاً لَمْ يَعْمَلْ خَيْرًا قَطُّ وَكَانَ يُدَايِنُ النَّاسَ فَيَقُولُ لِرَسُولِهِ:

خُذْ مَا تَيَسَّرَ وَاتْرُكْ مَا عَسُرَ وَتَجَاوَزْ لَعَلَّ اللَّهَ تَعَالَى أَنْ يَتَجَاوَزَ عَنَّا.

فَلَمَّا هَلَكَ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُ: هَلْ عَمِلْتَ خَيْرًا قَطُّ؟ قَالَ: لاَ إِلاَّ أَنَّهُ كَانَ لِي غُلاَمٌ وَكُنْتُ أُدَايِنُ النَّاسَ فَإِذَا بَعَثْتُهُ لِيَتَقَاضَى قُلْتُ لَهُ: خُذْ مَا تَيَسَّرَ وَاتْرُكْ مَا عَسُرَوَتَجَاوَزْ لَعَلَّ اللَّهَ يَتَجَاوَزُ عَنَّا. قَالَ اللَّهُ تَعَالَى: قَدْ تَجَاوَزْتُ عَنْكَ.

Sesungguhnya terdapat seseorang yang tidak pernah melakukan apa jua amal kebaikan
kecuali dia lazim memberi hutang kepada orang ramai (yang berada dalam kesukaran kewangan). (Apabila mengutip hutang) dia berkata kepada pembantunya:

“Ambillah apa yang mudah (daripada orang yang dapat membayar hutang)
dan tinggalkanlah apa yang sukar (daripada orang yang tidak mampu membayar hutang)
dan maafkanlah (hapuskanlah hutang itu), mudah-mudahan Allah Ta‘ala memaafkan kita.”

Kemudian apabila dia meninggal dunia, Allah ‘Azza wa Jalla berfirman kepadanya
(padahal Allah sudah sedia mengetahui):

“Apakah kamu tidak melakukan apa jua kebaikan?” Dia menjawab: “Tidak (ada apa-apa kebaikan) kecuali aku memiliki seorang pembantu dan aku lazim memberi hutang kepada orang ramai. Apabila aku mengutusnya untuk mengutip hutang aku berkata kepadanya:
“Ambillah apa yang mudah (daripada orang yang dapat membayar hutang) dan tinggalkanlah apa yang sukar (daripada orang yang tidak mampu membayar hutang)
dan maafkanlah (hapuskanlah hutang itu), mudah-mudahan Allah Ta‘ala memaafkan kita.”

(Maka) Allah Ta‘ala berfirman: “Sungguh Aku memaafkan kamu.”[6]

[1] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1976 (Kitab al-Shadaqat, Bab menangguhkan kutipan hutang).
[2] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan dinilai hasan lighairihi oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no: 899.
[3] Hasan: Dikeluarkan oleh al-Thabarani dan al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh al-Albani dalam Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, hadis no: 900.
[4] Sahih: Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Ibn Majah, hadis no: 1980 (Kitab al-Shadaqat, Bab meminta dengan baik dan mengambil dengan sopan).
[5] Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 2076 (Kitab al-Buyu’, Bab mudah dan lapang dada dalam pembelian, penjualan…).
[6] Hasan Sahih: Dikeluarkan oleh al-Nasa‘i dan dinilai hasan sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan al-Nasa‘i, hadis no: 4708 (Kitab al-Buyu’, Bab bersikap baik dalam pergaulan dan santun dalam membuat tuntutan).

(Penulis Asal Tidak Diketahui)

No comments:

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin