Friday, May 29, 2009
Jenayah & Maksiat - Akhbar Hari Ini : 29 Mei 2009
Harian Metro (29 Mei 2009) :
Lelaki Terima 18 Jahitan
KUALA LUMPUR: Kegembiraan 10 sahabat meraikan kemenangan pasukan mereka menjuarai ‘Piala Juara-juara Liga Eropah’ awal pagi semalam bertukar tegang apabila seorang rakan mereka dibelasah sekumpulan lelaki tidak dikenali, pagi semalam.
Dipercayai sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan parang, kayu dan besi itu dikatakan mengamuk serta membelasah mangsa berikutan berang selepas pasukan yang disokong kalah dalam perlawanan itu.
Pelajar Kolej Melaram Pistol
SUBANG JAYA: Tiga pelajar sebuah kolej swasta ditahan selepas pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka memiliki senjata api ketika berada di parkir Sunway Pyramid di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata ketika menjalankan rondaan di tempat letak kereta pusat beli-belah itu, polis bantuan menemui kereta Suzuki Swift yang di dalamnya terdapat dua penumpang masing-masing lelaki dan wanita manakala seorang lagi lelaki berada di luar kenderaan.
“Hasil pemeriksaan itu, polis menemui sepucuk pistol jenis Colt 45 dan lima butir peluru diselitkan di pinggang lelaki terbabit,” katanya.
Arah Teman Lelaki Perkosa Rakan
KUALA LUMPUR: Biarpun baru mencecah usia 14 tahun, namun seorang remaja perempuan layak digelar gadis jalang apabila sanggup mengarahkan teman lelakinya memperkosa rakan sekolahnya sendiri sambil memberi kata-kata galakan terhadap perbuatan keji itu.
Pelajar perempuan tingkatan dua itu turut bertindak sebagai ‘pengarah filem’ aksi rogol terbabit dengan merakam perbuatan berkenaan menggunakan kamera telefon bimbit sambil memberi arahan apa yang perlu dilakukan.
Sumber polis berkata, kejadian sadis itu berlaku apabila mangsa diajak pasangan kekasih berkenaan ke satu kawasan sunyi di Bukit Ampang di sini, baru-baru ini.
Remaja Enggan Buka Mulut Dibelasah
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berdepan detik menakutkan apabila dibelasah bertubi-tubi dan diugut bunuh dua lelaki yang dipercayai menyamar anggota polis dalam satu kejadian samun, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, selain dipukul tanpa belas kasihan, seorang daripada ‘polis’ itu turut mengacukan pisau ke arah mangsa yang berusia 19 tahun sambil mengugut akan membunuhnya jika enggan mengikut arahan mereka.
‘Penagih Beriman’ Ditangkap Lalok
KUALA LUMPUR: Gelagat selambanya seolah-olah sedang mengambil air sembahyang di sebuah surau di sini akhirnya terbongkar apabila mendapati lelaki berusia 30-an terbabit sebenarnya sedang lalok kerana mengambil dadah.
Malah ‘penagih beriman’ terbabit langsung tidak menyedari adanya kamera litar tertutup (CCTV) di atas kepalanya dan perbuatannya itu disedari pegawai keselamatan bertugas.
Bukan saja berketayap, malah dia turut berpura-pura berwirid bagi mengelak kelakuannya disedari pengunjung.
Diletak Bawah JKM Selama Sebulan
PETALING JAYA: Mahkamah Kanak-Kanak semalam memberikan hak penjagaan interim selama sebulan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjaga seorang kanak-kanak yang berumur lima tahun yang dipercayai didera oleh ibunya yang berumur 37 tahun.
Majistret Nur Syafawati Arifin membenarkan hak itu selepas dua pegawai dari jabatan berkenaan yang bertindak sebagai pelindung kanak-kanak itu mengemukakan permohonan mereka pagi ini.
Curi Kerana Gila Kereta
SUBANG JAYA: Cita rasa tinggi dua mekanik yang mahu mengubah suai Proton Putra kepada Mitsubishi Evo membuatkan mereka sanggup mencuri aksesori kenderaan terbabit di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Bukit Kuchai, dekat sini, Isnin lalu.
Bagaimanapun, perbuatan mereka itu terbongkar hanya tiga jam selepas melakukan perbuatan itu apabila ditahan ketika berada di hadapan Hotel Sun Inn Mentari.
Utusan Malaysia (29 Mei 2009) :
Suri Rumah Kes Ragut Terbaru
KUALA TERENGGANU 28 Mei - Seorang wanita nyaris maut apabila beg tangannya diragut ketika menunggang motosikal di Jalan Tengku Omar, Kampung Wakaf Tembesu, Gong Badak di sini pagi ini.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Mazlina Nawang, 45, yang bekerja di kedai dobi di Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit di sini.
Mayat Bayi Depan Rumah
KUANTAN 28 Mei – Kes pembuangan bayi masih terus berlaku meskipun pendedahan demi pendedahan disiarkan oleh media setiap hari.
Terbaru seorang pekerja kilang di sini terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di hadapan rumah sewanya di Taman Balok Makmur di sini hari ini.
Jenayah Khalwat Semakin Berleluasa
KUALA LUMPUR 28 Mei - ''Tahun 1960-an jarang-jarang. 1970-an kadang-kadang. 1980-an kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. 1990, selalu ada. Masuk alaf baru, macam cendawan tumbuh selepas hujan.'
Ungkapan pegawai pendakwa syarie, Abdul Halim Abdullah ketika mengemukakan bantahan terhadap rayuan untuk mengurangkan hukuman oleh pasangan yang dituduh berkhalwat di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mampu membuatkan sesiapa yang mendengarnya tersenyum sendiri.
Pasangan itu adalah antara lapan pasangan yang didakwa hari ini atas tuduhan berkhalwat di sekitar ibu kota antara Disember tahun lalu dan Februari lepas.
Selain 16 orang tersebut, dua lagi tertuduh masing-masing didakwa berkhalwat bersama warga Myanmar bukan beragama Islam dan bersubahat membantu perlakuan khalwat.
Berita Harian (29 Mei 2009) :
Pelajar Mengaku Khalwat
KUALA LUMPUR: "Saya tahu saya sudah mencalarkan maruah keluarga tetapi saya sudah insaf dan berjanji akan menjadi orang lebih baik selepas ini," itulah luahan pelajar perempuan Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum dijatuhkan hukuman penjara dan denda kerana berkhalwat.
Raden Farah Al Wani Ab Halim, 21, yang mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang tentera yang baru lima hari dikenalinya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menangis teresak-esak ketika memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya.
Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Radzi Abd Latif tetap menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,000 terhadapnya.
Mayat Mangsa Bunuh Dibakar
JOHOR BAHRU: Polis menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh di ladang kelapa sawit di Mount Austin, Kempas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata mayat wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui seorang pekerja ladang kelapa sawit berkenaan.
“Sepasukan anggota serta Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dihantar ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 18 jam sebelum mayatnya dijumpai,” katanya di sini, semalam.
Targhib
Untuk hari ini sahaja ( Jumaat 29 Mei 2009 ) berita di dalam akhbar Arus Perdana memaparkan sekurang-kurang 12 kes perbagai jenayah di dalam negara kita.Ini yang dapat saya paparkan untuk hari ini sahaja bagaiman esok, lusa dan seterusnya. Amat menakutkan bilamana kebanyakkan kes jenayah adalah melibatkan remaja yang pastinya ianya akan makin bertambah hari demi hari jika kita tidak mengambil sikap pencegahan yang di dasarkan garis panduan Al-Quran dan Hadith Nabi saw. Perkara begini telah pun di khabarkan oleh Nabi saw ribuan tahun yang lalu melalui sabdaan beliau :
“Bagaimana keadaan kamu wahai manusia diketika mana gulongan perempuan kamu memberontak melampaui batas kesusilaan dan pemuda-pemuda kamu menyimpang daripada kebenaran (rosak moral) berkata para sahabat,”Wahai Rasulullah saw , adakah perkara sebegini akan berlaku ?” Sabda beliau ”Ya!”
Dan lagi :
“Bagaimana keadaan apabila gulongan pemuda di antara kamu terjerumus kedalam kancah maksiat, gulongan wanita melampaui batasan, dan ramai orang yang jahil tentang agama. Berkata para sahabat,”Perkara sedemikian itu akan berlaku wahai Rasulullah?” Sabda beliau, “Yang lebih terok daripada itu pun akan berlaku juga.” (Dari Dhimam Ibn Al-Mu’firi : Al-Bida’.)
Bila kita renung dan tilek sememangnya kewajipan melaksanakan dakwah, amar ma’ruf nahi mungkar perlu di laksanakan oleh ummat Islam hari ini. Tidak hairanlah bila ada ulama-ulama mengeluarkan selaku fatwa bahawa kerja dakwah ini adalah “wajib aini / Fardhu Ain” kepada setiap individu di dalam masyarakat bila melihat maksiat yang bbegitu ketara akhir-akhir ini.
Wallahua’lam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
29 jun ker atau 29 mei???
Post a Comment