Tuesday, May 12, 2009
Once Upon A Time In Kuala Kedah Bah:2
Kampong aku adalah kampong nelayan. Segala kemudahan asas agak terlewat datang disebabkan ianya terpisah dari Pekan Kuala Kedah dengan Sungai Kedah. Rata-rata penduduk bekerja sebagai nelayan serta sebahagiannya selain sebagai nelayan juga bersawah padi memandangkan sawah padi di bahagian belakang kampong sememangnya luas.
Disebabkan kehidupan yang sederhana, maka tak banyak anak-anak kampong berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi berlebih lagi dari segi pendidikan agama. Yang benar-benar mendapat pendidikan agama secara sempurna hampir-hampir tidak ada. Hasilnya masjid tidak hidup dengan amalan masjid sebagaimana sepatutnya. Masih aku ingat ketika berumur 10 tahun masjid kekadang tak dapat meneruskan solat Jumaat disebabkan bilangan solat Jumaat tidak mencukupi dan diganti dengan solat Zohor sahaja. Setiap hari Jumaat siak dan satu dua Ajk masjid ( dikenali sebagai orang 10 ) akan membasuh masjid disebabkan banyaknya tahi kambing di dalam masjid. Ini lah akibatnya bila masjid tidak dimakmorkan. Apabila ini berlaku maka gejala burok seperti berjudi , dadah, nombor ekor, amalan kurafat seperti melepaskan lancang ke laut, kepercayaan kepada keramat yang berkebetulan ada di kampong berleluasa. Dua keramat yang cukup terkenal kepada pendudok setempat dan yang berdekatan dengannya samada Melayu, Cina dan India akan datang untuk membayar nazar di situ. Terkenal dengan panggilan ‘Keramat Katak Puru’ dan ‘Badak Berendam’,dua buah meriam lama yang kononnya keramat bagi penduduk kampong dan sekitarnya.
Setiap hari Jumaat kami budak-budak kampong cukup seronok dan akan menunggu kedatang orang kampong lebih-lebih lagi penduduk luar yang akan datang membayar nazar. Bukannya apa, Cuma untuk makan free dan duit sedekah yang dibawa oleh pembayar nazar. Ada yang mandi kat situ kononnya boleh melegakan sakit kronik, ada yang mandi untuk mendapatkan anak, ada yang mandi untuk mendapatkan jodoh dan berbagai lagi. Pulut Kunyit ,pisang serta gula-gula menjadi kebiasaan yang akan dibawa oleh pembayar nazar. Kekadang kami sendiri bagi tau kat mereka-mereka yang datang bahawa Tok Keramat ( meriam Katak Puru )ni bukan boleh buat apa-apa namun karana kami budak-budak maka tak diendahkan. Ada sebahagian budak-budak lansung kencing atas Tok Keramat tu namun tak ada apa-apa pun yang berlaku. Heran juga kami sebab apa diorang ramai-ramai datang bayar nazar kat situ. Apa tidaknya kami sememangnya sering bermain kat situ setiap hari kerana tempatnya cantik tepi laut, atas kota dan banyak angin. Ianya menjadi tempat lepak pemuda kampong dan tempat mainan budak-budak.
Setelah aku dan kawan-kawan aku, ( Cik Id, Roman dan Jabat ) keluar tiga hari dengan Jemaah Tabligh di Alor Setar sekitar tahu 1979, balek sahaja ke kampong kami pun berpakat untuk menghidupkan kembali masjid yang telah kosong dengan amalan. Kami berpakat untuk azan bermula waktu Zohor. Bila azan berkumandang sahaja, kampong macam jadi huru-hara ( macam diserang Garuda ). Penduduk kampong kehairanan, “sapa pulak yang dah buang tabiat”, kata salah seorang pendudok kampong. Ada pulak yang kata, “Azan hampa macam Katak Betong”. Ada pulak yang kata, “Sapa yang dok mandai-madai ni”. Namun ada juga sabahagian kecil yang memuji. Kami bergilir-gilir menjadi Imam, kadang-kadang Cik Id, Kadang-kadang Roman, kadang-kadang Jabat dan kadang-kadang aku yang jadi imam solat. Untuk solat Z ohor dan Asar kami berempat je yang solat. Sepas solat Asar sesudah selesai zikir petang kami pun keluar mencari kawan-kawan sebaya kami untuk berdakwah (Gasht yang tak ikut adab) penuh dengan semangat (josh).
Dalam dakwah yang tak ikut tertib tu pun ramai budak-budak kampong yang datang hadir untuk solat Maghrib yang pertama kami hidupkan. Ke esokkan harinya makin ramai yang datang, sehinggalah seminggu kami berbuat demikian makin ramai anak-anak muda sebaya dengan kami memenuhi masjid. Kami terus bergilir-gilir menjadi imam solat berkebetulan ianya waktu cuti sekolah. Selepas solat Maghrib kami akan membaca Ta’lim ( baca hadis Nabi saw ). Malamnya kami pakat-pakat iktikaf di masjid serta bertahajud beramai-ramai. Gelagat kami diperhatikan oleh beberapa orang-orang masjid dan akhirnya mereka ikut datang berjemaah untuk solat Maghrib, Isyak dan Suboh. Hujong minggu kami akan mendatangi Tn Guru Hj.Ahmad kira-kira 3 batu dari kampong kami, berguru dengan beliau serta belajar Fiqh dan Nahu dengan Ustaz Abdul Aziz menantu Tn.Guru yang baharu pulang belajar di Dioband, India. Penduduk kampong ada yang menfitnah kami dan ada juga yang memuji. Namun berkat pertolongan Allah swt ramai juga anak muda kampong yang dapat kami taskilkan untuk keluar Jemaah. Selepas itu jemaah makin ramai dan masjid telah hidup lima waktu solat berjemaah sehinggalah masjid baru dibina. Amalan kurafat Tok Keramat , berjudi , nombor ekor serta tabiat burok lama-kalamaan hilang dari kampong tersebut.
Setelah kami selesai sekolah maka kami terpisah, Cik Id sambong kursus Pembedahan Gigi, Jabat terlibat dengan bussines , Roman menjadi Juruteknik Jabatan Saliran, manakala aku tinggal di Kuala Lumpur dan menyambong pelajaran di UITM serta bekerja di LKIM. Kami membawa haluan masing-masing namun akan berkumpul kembali sewaktu cuti Hari Raya apabila pulang ke kampong. Bila kami bertemu orang-orang tua kampong, mereka memuji usaha kami memakmorkan masjid. Pernah bila aku balek ke kampong pada Hari Raya, Ajk Masjid menjemput aku berkhutbah Hari Raya. Dalam khutbah, tatkala aku menyentuh kehidupan lama kampong ramai ibu bapa serta orang tua-tua kampong yang minitik air mata bercucuran.
Kini yang tinggal hanyalah kenangan, Kampong pun telah diroboh dan dipindah ke penempatan baharu, ramai orang tua kampong telah meniggal dunia, Roman pun telah meninggal dunia sehari sebelum Hari Raya 2007. Yang tinggal aku,Jabat dan Cik Id, aku menghitung hari bila giliran dipanggil oleh Allah swt. Hanya Allah swt sahaja yang mengetahui rahsia hati. Umur makin meningkat. Anak-anak makin dewasa, kehidupan zaman muda telah berlalu, masa akan datang pasti mendatangi. Untuk memikirkan persoalan dunia rasanya tidak ada masa. Baki masa yang ada, hasrat hati nak habiskan untuk kerja agama, beribadat membetulkan amalan agar boleh menarik pertolongan Allah swt serta ilmu yang sedikit ini nak jadikan menafaat selepas kematian. Semuanya berlalu begitu pantas, rasanya hanya beberapa hari sahaja, begitu resmi dunia. Bila dikenang-kenang , airmata pasti berhamburan....betapa singkatnya umur ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
3 comments:
Segala Puji bagi Allah
subhanallah.. betul kerja dakwah.. nak menitis air mata dgr karkuzari ustaz... jazakallah..
ni ustaz punya kisah la ye?
Post a Comment