MAKLUMAN :


widgeo.net

Thursday, March 25, 2010

Kesahihan Kisah Anak Saidina Umar ra.


(Jawapan Kepada Persoalan Ibn Abdullah)


assalamualaikum ustaz, saya ada terbaca kisah zina yang melibatkan anak Khalifar Umar ra dari salah satu blog karkun :

http://pianed.blogspot.com/2010/02/kisah-zina-anak-sayyidina-umar-ibnu.html

pada masa yang sama apabila berkongsi dengan sahabat-sahabat yang lain, maka ada yang mengatakan kisah ini tidak benar, hadis maudhu, dipanjang lebarkan atau ditokok tambah, seperti di bawah ini :

http://towardsmardhatillah.wordpress.com/2009/08/26/cerita-israeliyyat-umar-al-khattab-sebat-abu-syahamah-hingga-mati/
minta ustaz perjelaskan, jazakAllah, wassalam

ibnu_abdullah


Jawapan :

Pernah ketika penulis mendengar Bayan Suboh (Kuliah Suboh) Maulana Umar Palampuri, dalam menceritakan seorang musoh Islam yang berkeinginan membunoh Nabi saw, namun kesudahannya beliau mendapat hidayat dari Allah swt. Semua yang mendengar memahami bahawa kisah itu adalah kisah Saidina Umar r.a . Namun kerana disebalik kisah berkenaan ada sedikit kerendahan kepada sahabat Nabi saw beliau tidak menyebut nama Saidina Umar r.a di dalam menceritakan kisah berkenaan. Ini adalah kerana ada larangan dari Nabi saw agar tidak menghina para-para sahabat di dalam banyak riwayat.
Sahl bin Abdillah rah berkata, “ Barang siapa yang tidak menghurmati para sahabat r.hum maka ia tidak beriman kepada Rasulullah saw.”

Berkaitan dengan kisah anak Saidina Umar r.a, Ulama-ulama Hadis sepakat mengatakan bahawa kisah berkenaan terdapat unsur “tabbara” yang biasanya diketengahkan oleh gulongan “Rawafid” atau Syiah. Memang terkenal di dalam sejarah sampai ke hari ini bahawa gulongan Syiah cukup benci dan sentiasa melaknati sahabat Nabi saw di dalam doa-doa mereka dan khutbah-khutbah mereka.

“Tabbara” adalah satu konsep yang telah menjadi prinsip di dalam perancangan musoh-musoh Islam khususnya Syiah untuk melaknati sahabat-sahabat Nabi saw secara tersembunyi melalui cereka-cereka atau hikayat-hikayat yang pada lahirnya nampak seolah-olah memuji namun pada hakikatnya adalah penghinaan dan cemuhan. Di dalam ilmu Balaghah ianya dikenali dengan “ Ta’kiduu Adzzammi bima yusybihu al madha” atau “celaan di dalam bentuk pujian”

Ulama-ulama di dalam bidang hadis menghukumkan riwayat di dalam kisah berkenaan adalah “maudhu” atau palsu. Imam Ibn al- Jauzi rah berkata, “ Hadis berkenaan adalah maudhu’. Ia telah direka oleh ahli cerita. Banyak perkara karut yang terdapat di dalamnya.” Manakala Hafiz Jalaluddin as- Sayuti pula berkata, “ Riwayat ini maudhu’. Ianya direka oleh ahli-ahli cerita yang mana di dalamnya terdapat seorang yang majhul.” Selain itu Allamah Muhammad Thahir bin Ali al-Hindi pula berkata, “ Kisah Abu Syahmah anak Saidina Umar ini adalah cerita rekaan oleh ahli cerita.” Daruqutni pula berkata ,” Riwayat Mujahid ini tidak sahih.”

Sebenarnya kisah ini terdapat tiga versi yang sedikit sebanyak ada tokok tambah. Ianya terdapat dua riwayat iaitu dari Said bin Masruq dan Abu al-Quddus.

Antara kesan kecacatannya adalah seperti berikut :

1. Perawi kisah ini menggunakan perkataan ‘Ghulam’. Pada beberapa tempat maknanya adalah berbeza-beza. Sesetengahnya perkataan ‘Ghulam’ bermakna ‘Hamba’ namun pada tempat yang lain pula bermakna ‘budak lelaki’. Ini menunjukkan dengan jelas bahawa pereka cerita ini adalah orang Parsi, yang mana bahasa Arab bukan bahasa ibundanya. Kekadang ia tersasul menggunakan makna bahasa Arab dan kekadang di dalam makna Parsi. Dalam bahasa Parsi perkataan ‘ghulam’ bermakna ‘hamba atau khadam’. Manakala di dalam bahasa Arab pula ‘ghulam’ bermakna ‘budak lelaki yang belum baligh’. Tentunya perkataan ‘ghulam ‘ pada makna ‘hamba’ tidak boleh digunakan untuk Abu Syahmah, yang mana sepatutnya dengan makna Arab yakni ‘budak lelaki’. Namun begitu perkataan ‘ghulam’ pun tidak juga boleh digunakan untuk menunjukan semua peringkat budak lelaki. Ianya hanya merujuk kepada budak lelaki yang belum baligh sahaja.

2. Jika ‘ghulam ‘ dirujuk kepada Abu Syahmah sebagaimana yang dinyatakan di dalam kisah berkenaan, maka ini menunjukan bahawa kisah ini tidak logik. Mana mungkin budak yang belum baligh boleh berbuat demikian dan mana mungkin hukuman tersebut boleh dikenakan kepada anak kecil.

3. Di dalam kisah berkenaan, Aflah atau Muflih adalah hamba Saidina Umar r.a sedangkan hamba saidina Umar r.a yang ada di dalam catitan sejarah bernama Aslam bukannya Aflah atau Muflih. Aflah atau muflih adalah nama seorang muazzin di masjid Nabi saw. Saidina Umar telah melantiknya menjadi muazzin di masjid Nabawi.

4. Di dalam cerita berkenaan digambarkan bahawa wanita berkenaan berulang alik ke rumah Saidina Umar r.a dengan membawa anaknya. Ini menunjukkan bahawa ianya seorang wanita yang telah berkahwin, bukan gadis. Umar r.a pula tidak mengenalinya dan hanya mengenalinya takala melihatnya di masjid.

5. Sepatutnya wanita berkenaan melaporkan kejadian berkenaan pada peringkat awal kejadian. Sikap berdiam diri sehingga melahirkan anaknya dan telah besar membuktikan bahawa kejadian itu berlaku dengan kerelaannya. Maka kedua-duanya sepatutnya dihukum.

6. Nama Abu Syahmah adalah nama “kunyah” dan ianya tidak jelas siapakah orang yang di’kunyah’kan. Jika ianya dikunyahkan pada anaknya maka kisah ini menjadi begitu lucu kerana seorang yang ada anak bererti “zina muhsan” yang mana hukum sebenarnya adalah ‘rejam’ (lihat pada posting bulan Jan 2010 : Hukum Rejam Bagi Penzina)

7. Sesiapa yang membaca cerita ini akan tergambar bahawa suasana Madinah semasa pemerintahan Saidina Umar r.a dipenuhi dengan arak. Kedai-kedai arak di mana-mana, malah anak-anak sahabat yang ulung juga tidak ketinggalan terlibat dengan arak. Betulkah begitu ? Sedangkan Allah swt mengatakan kehidupan mereka sebagai “Hayatan thoiyyiba”.

8. Cacatan sejarah membuktikan bahawa Saidina Umar r.a telah menghalau semua suku-suku Yahudi dari Madinah. Jadi mana mungkin masih ada lagi Yahudi di Madinah?

9. Dikatakan bahawa Abu Syahmah telah meminum arak tersebut di kebun Yahudi Bani an-Najjar dan kejadian zina itu juga berlaku di sana. Tahu tak kita bahawa kebun Bani an-Najjar itu sebenarnya adalah kawasan Masjid Nabi saw dan rumah Abu Ayub an-Ansori juga terdapat di dalam kawasan ini. Kawasan ini telah dibangunkan Masjid Nabi saw ketika Nabi saw hijrah ke Madinah. Ini bermakna, ketika zaman Saidina Umar r.a menjadi khalifah ianya telah tiada.

10. Tindakkan Saidina Umar r.a mengumpulkan penduduk Madinah sebelum siasatan dibuat menunjukkan ceteknya ilmu feqah Saidina Umar r.a sedang ulama-ulama mengatakan bahawa Umar r.a adalah salah seorang yang mahir tentang hukum hakam. ( Cth : Kitab Feqah Saidina Umar r.a karangan Syah Waliyullah Dehlawi )


Atas dasar semua inilah maka Imam Ibn al-Jauzi rah berkata, “ Mula-mula mereka mengatakan Abu Syahmah itu rupanya mirip dengan Rasulullah saw. Kemudian mereka menuduh pula dia merogol perempuan. Perawinya Abu al-Quddus adalah penduta besar.”

Dalam cacatan sejarah yang di akui bahawa Abu Syahmah ini bukanlah nama kunyah (samaran) Ubaidullah tetapi adalah nama samaran Abdul Rahman al-Ausath. Beliau adalah salah seorang anak lelaki Saidina Umar r.a. Cacatan sejarah yang diterima menyatakan beliau pernah bersama robongan Amru bin al-Asy r.a di dalam satu angkatan jihad ke Mesir. Satu hari beliau meminun nabiz dan kebetulan beliau mabuk. Sedangkan nabiz sememangnya adalah halal namun jika telah lama maka ianya akan bertukar rupa dan memabukkan.

Namun begitu beliau telah berjumpa denga Amru bin al-Asy r.a dan meminta hukum had dikenakan ke atas beliau. Namun Amru bin al-Asy r.a tidak mahu melaksanakan kerana beliau tidak mendapati kesan mabuk pada Abdul Rahman serta juga ketiadaan saksi. Abdul Rahman mengertak untuk mengadu kepada ayahnya Saidina Umar r.a dan akhirnya hukuman ini dilaksanakan di dalam khemah dengan tidak diketahui oleh sesiapa pun. Bila berita ini sampai kepada Umar r.a maka beliau menegur Amru bin al-Asy r.a kerana tidak melaksanakannya dikhalayak ramai. Bila Abdul Rahman pulang ke Madinah dengan kemenangan menguasai Mesir, Umar r.a pun melaksanakan hukuman itu sebagai pendidikan dan tarbiah. Secara kebetulan selepas beberapa hari kejadian itu Abdul Rahman pun jatuh sakit dan meninggal dunia.

Selepas mengemukakna cerita ini Ibn Jauzi dan As Sayuti menulis bahawa,” Sekadar inilah asal cerita ini tetapi penulis cerita telah menakuk tambah sehingga menjadi satu cerita yang tersendiri.”

Ini sebahagian kisah-kisah yang telah dibuktikan oleh ulama-ulama yang terkandung “Tabbara” terhadap musuh dan “tawalla” terhadap yang dikasihi iaitu Ali r.a dan keluarganya oleh orang-orang Syiah.

Wallahua’lam.
(Rujukan : Himpunan Kisah-Kisah Benar karangan Abu Sulaiman Nashir)

5 comments:

karguzaridakwahiman said...

salam ustaz,

Bagaimana pula dengan kisah Hindun isteri Abu Sufyan yg melapah hati Hamzah r.a?

Sy ikuti salah satu forum, mereka mengatakan bahawa ini merupakan cerita rekaan/tambahan atas pengaruh syiah yg membenci sahabat kerana Hindun adalah ibu kepada Muawiyah r.a.

Periwayat Ibnu Isyaq (Muhammad bin Ishaq) dikatakan penganut Syiah dan dalam Sahih Bukhari sesekali tidak menerangkan kisah Hindun melapah hati Hamzah r.a.

ibnu abdullah said...

jazakAllah ustaz, ini satu penerangan yang sangat baik. Moga semua dapat manfaat, wassalam

Ziarah76 said...

jazakAllah ustaz

مسافر اسلام said...

Salam ustz.
tak sempat nak jumpa semalam. saya ke Mesyurat Markas utk jumpa syurah tentang usaha atas org asli.
Allhamdullah...semua Allah permudahkan.

Unknown said...

Subbloger,

Kisah Hindun isteri Abu Sufyan yang melapah hati Hamzah r.a adalah takuktambah oleh penulis sejarah yang sebenarnya tidaklah begitu.

Maulana Habiburrahman al-Kandhalawi di dalam kajiannya pemurnian sejarah juga membuktikan bahawa Hindun tidaklah berbuat sedemikan rupa.

Mengenai Ibn Ishaq telah pun dibuktika oleh pakar sejarah bahawa riwayat beliau ada masaalah. selain itu riwayat dari Ibn Hisyam juga diragui.

Wallahua'lam

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin