MAKLUMAN :


widgeo.net

Monday, August 8, 2011

Nur Tiada Pilihan : Isu Bantuan Gereja


(Harian Metro Ahad : 7 Ogos 2011)
SEREMBAN: “Saya tiada pilihan melainkan menerima bantuan makanan dan wang daripada pihak gereja,” kata seorang wanita mahu dikenali sebagai Nur, 40, yang mendakwa sering mendapat cemuhan segelintir pihak kerana mendapat bantuan daripada gereja untuk menyara kehidupannya sekeluarga.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, dia kini tidak dapat bekerja kerana menghidap pelbagai penyakit, terutama asma, kencing manis, darah tinggi dan buasir.
“Saya sedar tidak sepatutnya menerima bantuan daripada gereja, namun saya terdesak kerana memikirkan hidup anak yang mahu bersekolah dan makan. Oleh itu, saya terpaksa mengambil bantuan itu,” katanya ketika ditemui di rumah di Ampangan, di sini, semalam.

Nur yang pernah bekerja sebagai pembantu akaun mendakwa, dia terpaksa berhenti kerana masalah penyakit itu dan pernah beberapa kali pergi ke jabatan berkaitan, namun dicemuh umpama peminta sedekah.

“Saya sedih kerana pihak berkenaan yang sepatutnya membantu enggan melayan saya, sebaliknya saya ditolak ke sana sini hanya kerana bantuan berjumlah RM70.
“Yang membuatkan saya sedih adalah ketika mengenangkan nasib anak yang kadangkala tidak makan, malah yuran tuisyen dan sekolah mereka juga sudah lama tertunggak,” katanya yang reda dengan keadaan itu.

Menceritakan bagaimana dia berjumpa seorang pendakwah gereja, Nur mendakwa, dia disapa oleh wanita berkenaan April tahun lalu ketika dia kesedihan kerana permohonan untuk mendapatkan bantuan tidak berjaya.

“Dia (pendakwah gereja) kemudian menyarankan saya mendapatkan bantuan gereja milik mereka iaitu barang makanan berserta wang tunai.

“Saya tiada pilihan, malah hampir setahun saya menerima bantuan itu. Pihak gereja yang lebih inisiatif untuk tampil membantu nasib wanita seperti saya,” katanya.

Dakwanya, setiap bulan pihak gereja membawa keperluan harian ke rumahnya, malah selalu menghubunginya untuk bertanyakan jika mempunyai masalah lain.

“Saya dan anak turut ditawarkan untuk tinggal di asrama mereka, malah mereka berjanji untuk membantu menyelesaikan yuran tuisyen dan sekolah anak.

“Namun, sampai bila saya dan anak harus mengharapkan bantuan pihak gereja, sedangkan saya beragama Islam,” katanya.

Menurutnya, dia berharap ada sinar di penghujung hidupnya dan anaknya untuk mendapatkan bantuan daripada pihak tertentu.

“Jika mampu bekerja, saya akan cuba menyara hidup ini, namun Allah masih sayangkan kami apabila saya diuji dengan pelbagai ujian hidup,” katanya.


Komen Penulis :

Sedih teramat bila membaca kisah ibu tunggal di atas memandangkan ianya berlaku di bulan Ramadhan yang mana kita diminta untuk menzahirkan perasaan belas kasihan kepada fakir miskin ketika berbuka puasa. Makanan yang dimakan tersangat-sangat sunat untuk kita beri kepada sesiapa sahaja dikalangan mereka-mereka yang berpuasa.

Terlalu banyak hadis yang berkaitan perkara tersebut dan ianya disebut-sebut oleh penceramah-penceramah tazkirah Ramadhan yang hampir di setiap surau dan masjid.

Kemuncak amalan puasa yang kita jalani bila mana setiap hari kita merasai simpati kepada gulongan yang kekurangan dan kelaparan, yang fakir lagi miskin. Maka di akhir Ramadhan kita diPAKSA (Wajib) oleh Allah swt menzahirkan perasaan belas kasihan kepada gulongan yang kekurangan ini dengan membawa beras fitrah dan mencari gulongan ini untuk membayar zakat fitrah. Bukan mereka yang mencari kita sebenarnya.

Namun jika ada di hadapan kita asnaf begini maka sepatutnyalah kita mendahului mereka yang hadapan mata kita yang merintih kesusahan dan kemiskinan. Sebaliknya jika kita membayar zakat fitrah kepada mereka maka kita dianggap bersalah dan berdosa.

Ini terbukti bilamana penulis mendengar satu soaljawab di Radio IKIM minggu lalu. Di dalam rancangan tersebut bila soalan dikemukakan berkaitan asnaf yang ada di depan mata jika kita membayar zakat fitrah kita kepadanya. Maka jawab ustaz berkenaan kita dikira berdosa dan bersalah berdasarkan anekmen Agama Islam Selangor ( menurut ustaz jemputan berkenaan). Kata ustaz itu lagi ianya sah bayaran zakat berkenaan tetapi berdosa kerana melanggar perintah di dalam anekmen Agama Islam Selangor.

Beginilah kedudukan hukum zakat fitrah di Negara kita. Subhanallah!

Amat berbeza dan terbalik jika dibandingkan dengan keadaan di zaman Umar r.a. Diriwayatkan bahawa Umar r.a melihat seorang kafir zimmi yang sudah tua, sedang meminta-minta di Baitul Maqdis maka di panggil oleh Umar r.a lalu berkata ,” Sesungguh kami tidak adil kepada kamu sebab telah mengambil jizyah ke atas kamu ketika kamu masih muda, kemudian setelah kamu tua kami sia-siakan kamu.” Lalu Umar r.a mengambil harta dari Baitul Mal dan memberinya kepada orang tua berkenaan. (Tanbihul Ghafilin)

Sebaliknya sekarang ini terbalek , pihak gereja pula yang memberi bantuan kepada fakir miskin di kalangan orang Islam di negera yang kita anggap Negara Islam terbaik.

Sesetengah pengurus zakat berbangga dengan jumlah kutipan zakat dan berbangga dengan jumlah hasil zakat tahunan yang berjuta-juta . Namun sebaliknya di zaman awal Islam pemimpin dan pengurus zakat ketika itu akan berbangga-bangga jika kesemua hasil zakat diagihkan kepada semua asnaf. Ketika Umar r.a mengambil alih jawatan khalifah mengantikan Abu Bakar r.a, maka Umar r.a dapati tidak ada sekeping dinar mau pun dirham ditinggalkan oleh Abu Bakar r.a di dalam Baitul Mal.

Atas sebab inilah maka sesetengah ulama mengatakan bahawa jika masih terdapat fakir miskin yang tidak terbela maka sesungguhnya di sana pastinya terdapat sistem zakat tidak berfungsi dengan sempurna.

Sama-sama kita renungi dan berdoa agar kita tergulong di dalam gulongan Umat Islam yang dapat menyempurnakan setiap perintah tuhan yang diamanahkan kepada kita .

Wallahualam

5 comments:

Unknown said...

macam tu juga dengan masjid,duit tabung banyak,seronok ajk masjid2 nie dok display,kutip banyak,tapi tidak di manfaat sebaiknya,teringat saya satu masjid kulim,kutipan mingguan mencecah seribu,tapi apabila di buat berbuka puasa,walaupun kehadiran tidak lebih dr 20 org,yg di hidangkan makann adlah telur goreng berserta nasi....

SH said...

org masjid saya kira banyak kena soal mengenai amanah esok2. Ada masjid aircond sampai ratusan ribu sedangkan kalau window shopping pun tak sampai tahap tu. Duit dihabiskan pelbagai program tanpa mengambilkira kemsikinan keperluan muslim lain.. ada cerita mengenainya di http://www.hishamnazir.net/2011/08/hidup-atas-ehsan-gereja.html

Unknown said...

Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menetapkan mana-mana sumbangan individu anak qaryah untuk sumbangan majlis Ramadhan maka hendaklah dibelanjakan untuk aktiviti sepanjang Ramadhan. Sumbangan berkenaan tidak boleh dimasukkan ke dalam tabung biasa masjid dan tidak boleh di carry forward ke sumbangan lain.

Sesetengah masjid duit sumbangannya begitu banyak, namun Pengerusi dan AJK begitu kedekut untuk membelanjakan. Aktiviti yang kalau diadakan pun terpaksa meminta tajaan dari orang tertentu.

Kesudahannya duit begitu banyak dan nak keluarkan zakat pula katanya. Pernah ada AJK bertanyakan kepada saya tentang wang masjid perlukah dibayar zakat. Jawab saya adalah wang masjid milik individu?

musafir said...

Salam Ustaz,

Apa pandangan ustaz berkenaan dengan wujudnya

1) Bangunan MAIDAM

2) Bazar MAIDAM

3) Rumah Semi-D dan Banglo... pemiliknya.. MAIDAM....

--- Adakah MAIDAM menggunakan duit ZAKAT untuk di laburkan...dan membina bangunan2....kemudian...dijual... dan ada yg di sewakan....

hukum melaburkan duit zakat???

* MAIDAM adalah badan yang ditubuhkan di terengganu untuk memungut zakat...

Unknown said...

Musafir,
Saya kurang arif tentang MAIDAM apa lagi berkaitan kaedah perbelanjaan wang zakat tersebut.

Namun umumnya wang zakat hendaklah disempurnakan kepada anaf yang lapan. Jika telah disempurnakan dan ada lebihan tidaklah salah jika dibuat pelaburan asalkan duit yang berbaki itu boleh dikembangkan dan dimenafaatkan.

Cuma persoalannya adakah penerima zakat telah mendapat haknya? Ini perlu diambil perhatian. Jika telah sempurna, mengapa masih terdapat gulongan yang miskin yang tidak terbela?

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin