Hampir semua wanita tidak suka suami mereka berpoligami.
Malah wanita solehah yang beriman lagi takwa pun tidak suka jika suami mereka
berpoligami. Ini memang sifat semulajadi yang ada pada wanita. Kalau ada yang menggalakkan
suami untuk kahwin lebih dari satu, berkemungkinan kerana dharurat yang memaksa
suami berbuat demikian. Namun pada umumnya wanita memang tidak menyukai suami
mereka kahwin lebih dari satu.
Diriwayatkan bahawa Saidatina Fatimah r.ha pun cemburu dan
tidak menyukai bilamana suaminya Saidina Ali r.a berhasrat ingin kahwin lagi
satu. Beliau telah mengadu kepada bapanya Nabi saw yang seterusnya bersabda ,”
Fatimah sebahagian dariku dan aku sebahagian dari Fatimah, sesiapa menyinggung
Fatimah maka ianya menyinggung aku dan sesiapa yang menyinggung aku maka ianya
menyinggung Allah swt.” (Hikayatus Sahabah)
Ini membuktikan bahawa umumnya wanita tidak suka suaminya
berpoligami miski pun mereka yang baik amalan agamanya serta berada di dalam
lingkungan suasana keagamaan sekali pun.
Rumahtangga yang harmoni dan bahagia biasanya akan terhasil
di dalam keluarga yang suaminya hanya berkahwin satu. Rumahtangga sebegini
lebih ampuh dan terancang baik dari segi kehidupan keduniaan maupun kehidupan
keagamaan. Membahagikan masa untuk kehidupan keduniaan dan kehidupan keagamaan
lebih sempurna malah hak-hak isteri dan anak-anak lebih dapat disempurnakan
oleh suami.
Rumahtangga yang di dalamnya suami berkahwin lebih dari satu
agak sukar untuk kita bahagikan masa-masa berkenaan. Masa untuk agama dan
keluarga biasanya tidak dapat kita sempurnakan dengan betul dan baik. Sifat
cemburu di kalangan isteri dan anak-anak pastinya tidak akan dapat dielakan.
Cintakasih untuk anak-anak dan isteri tidak akan sama dengan cintakasih seorang
isteri dan anak-anak dari ibu yang satu. Ini semua tidak dapat kita nafikan,
tanyalah pada mereka yang berpoligami, dan tanyalah pada siteri-isteri dan
anak-anak yang suami atau bapa mereka yang berpoligami. Masa untuk isteri dan
anak-anak pastinya terbatas walaupun dia seorang pakar “pengurusan masa” di
samping masa kerja, sosial dan lain-lain.
Biasanya kita sebagai suami kekadang tersalah faham dengan
firman Allah swt yang selalu diwar-warkan oleh mereka yang berkeinginan
berpoligami. Firman Allah swt :
“Dan jika kamu takut
tidak dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yang yatim (bilamana kamu
mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi dua,tiga
atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak dapat berlaku adil, maka (kahwinlah)
seorang sahaja, atau hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu
adalah lebih dekat tidak berbuat aniaya.” (Surah An Nisa :4)
Islam tidak menghalang untuk berkahwin lebih dari satu,
namun ayat di atas tidaklah bermaksud bahawa menggalakkan atau ayat
taghib/motivasi untuk berkahwin lebih dari satu. Ianya lebih kepada
perlindungan kepada anak yatim dan janda korban perang yang berlaku di zaman
Nabi saw dan sahabat r.hum. Umumnya ayat ini bermaksud jika sesaorang yang
menjadi wali yang memelihara wanita yatim, lalu ianya berkeinginan untuk
mengahwini mereka tetapi bimbang tidak boleh berlaku adil, maka Allah swt
memberinya jalan untuk mengahwini wanita-wanita lain baik dua,tiga atau empat.
(Al Mawardi : An Naktu Wal ‘uyun 01/273 dan Ali Asy Syabuni :Tafsir Ayatil
Ahkam 1/189)
Ibnu Abbas ra juga menjelaskan bahawa kebiasaan masyarakat
arab berhati-hati di dalam memelihara anak-anak yatim tetapi di dalam perlakuan
adil terhadap isteri, mereka tidak berhati-hati. Maka sabab inilah turun ayat di
atas sebagai petunjuk bagi mereka.
Fokus ayat di atas adalah anak-anak yatim dan wanita kerana
kedua-dua gulongan ini memerlukan perlindungan dan pemeliharaan yang adil. Maka
jalan keluar dari permasaalah ini bagi mereka yang menjadi penjaga/pengurus anak/wanita
yatim yang ingin mengahwini mereka jika bimbang takut tidak berlaku adil.
Selain itu Kalimat “fankihu” lebih ditujukan kepada wanita
merdeka bukan hamba wanita. Juga kalimat “aw ma malakat aimanukum” yang
menunjukkan bahawa orang merdeka sahaja yang mempunyai hak ke atas hamba
wanita. Maka batasan poligami ini dibolehkan sehingga empat bagi yang merdeka.
Namu begitu jika dibimbangi tidak boleh berlaku adil maka sebaiknya adalah satu
sahaja. Maka adil menjadi syarat kepada poligami. Keadilan di sini termasuk
qismah/giliran, makan minum, pakaian dan juga tempat tinggal.
Rumusan :
Islam memperbolehkan bagi lelaki berpoligami secara “mujma’
alaih” serta hukum kufur jika mengingkarinya namun ulama sekata berpendapat
bahawa poligami bukanlah “Ajuran Mutlak”
untuk dilakukan. Sesiapa yang ingin berbuat demikian perlu menyemak diri
sendiri adakah ia berkesanggupan untuk memenuhi syarat-syarat poligami. Jika
syarat-syarat ini tidak dapat dipenuhi maka Islam “Melarang Keras” untuknya melakukan poligami.
Pandangan penulis sebaiknya bagi mereka-mereka yang ingin
berpoligami menghadiri kursus
perkahwinan khusus untuk poligami seperti mana yang telah diwajibkan bagi
bakal-bakal pengantin menghadiri kursus perkahwinan. Sijil khas dikeluarkan sesudah habis program kursus
berkenaan. Selain itu anak-anak juga perlupenjelasan khusus oleh bakal-bakal
“pengantin poligami” sebab-sebab bapa mahu berpoligami. Moga dengan ini
kehidupan yang harmoni boleh dikecapi oleh semua isteri dan anak-anak serta
kelansungan kehidupan beragama boleh diteruskan.
Wallahualam.