Friday, May 29, 2009
Jenayah & Maksiat - Akhbar Hari Ini : 29 Mei 2009
Harian Metro (29 Mei 2009) :
Lelaki Terima 18 Jahitan
KUALA LUMPUR: Kegembiraan 10 sahabat meraikan kemenangan pasukan mereka menjuarai ‘Piala Juara-juara Liga Eropah’ awal pagi semalam bertukar tegang apabila seorang rakan mereka dibelasah sekumpulan lelaki tidak dikenali, pagi semalam.
Dipercayai sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan parang, kayu dan besi itu dikatakan mengamuk serta membelasah mangsa berikutan berang selepas pasukan yang disokong kalah dalam perlawanan itu.
Pelajar Kolej Melaram Pistol
SUBANG JAYA: Tiga pelajar sebuah kolej swasta ditahan selepas pemeriksaan mendapati seorang daripada mereka memiliki senjata api ketika berada di parkir Sunway Pyramid di sini, malam kelmarin.
Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata ketika menjalankan rondaan di tempat letak kereta pusat beli-belah itu, polis bantuan menemui kereta Suzuki Swift yang di dalamnya terdapat dua penumpang masing-masing lelaki dan wanita manakala seorang lagi lelaki berada di luar kenderaan.
“Hasil pemeriksaan itu, polis menemui sepucuk pistol jenis Colt 45 dan lima butir peluru diselitkan di pinggang lelaki terbabit,” katanya.
Arah Teman Lelaki Perkosa Rakan
KUALA LUMPUR: Biarpun baru mencecah usia 14 tahun, namun seorang remaja perempuan layak digelar gadis jalang apabila sanggup mengarahkan teman lelakinya memperkosa rakan sekolahnya sendiri sambil memberi kata-kata galakan terhadap perbuatan keji itu.
Pelajar perempuan tingkatan dua itu turut bertindak sebagai ‘pengarah filem’ aksi rogol terbabit dengan merakam perbuatan berkenaan menggunakan kamera telefon bimbit sambil memberi arahan apa yang perlu dilakukan.
Sumber polis berkata, kejadian sadis itu berlaku apabila mangsa diajak pasangan kekasih berkenaan ke satu kawasan sunyi di Bukit Ampang di sini, baru-baru ini.
Remaja Enggan Buka Mulut Dibelasah
KUALA LUMPUR: Seorang remaja lelaki berdepan detik menakutkan apabila dibelasah bertubi-tubi dan diugut bunuh dua lelaki yang dipercayai menyamar anggota polis dalam satu kejadian samun, awal pagi kelmarin.
Difahamkan, selain dipukul tanpa belas kasihan, seorang daripada ‘polis’ itu turut mengacukan pisau ke arah mangsa yang berusia 19 tahun sambil mengugut akan membunuhnya jika enggan mengikut arahan mereka.
‘Penagih Beriman’ Ditangkap Lalok
KUALA LUMPUR: Gelagat selambanya seolah-olah sedang mengambil air sembahyang di sebuah surau di sini akhirnya terbongkar apabila mendapati lelaki berusia 30-an terbabit sebenarnya sedang lalok kerana mengambil dadah.
Malah ‘penagih beriman’ terbabit langsung tidak menyedari adanya kamera litar tertutup (CCTV) di atas kepalanya dan perbuatannya itu disedari pegawai keselamatan bertugas.
Bukan saja berketayap, malah dia turut berpura-pura berwirid bagi mengelak kelakuannya disedari pengunjung.
Diletak Bawah JKM Selama Sebulan
PETALING JAYA: Mahkamah Kanak-Kanak semalam memberikan hak penjagaan interim selama sebulan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjaga seorang kanak-kanak yang berumur lima tahun yang dipercayai didera oleh ibunya yang berumur 37 tahun.
Majistret Nur Syafawati Arifin membenarkan hak itu selepas dua pegawai dari jabatan berkenaan yang bertindak sebagai pelindung kanak-kanak itu mengemukakan permohonan mereka pagi ini.
Curi Kerana Gila Kereta
SUBANG JAYA: Cita rasa tinggi dua mekanik yang mahu mengubah suai Proton Putra kepada Mitsubishi Evo membuatkan mereka sanggup mencuri aksesori kenderaan terbabit di sebuah kedai menjual kereta terpakai di Bukit Kuchai, dekat sini, Isnin lalu.
Bagaimanapun, perbuatan mereka itu terbongkar hanya tiga jam selepas melakukan perbuatan itu apabila ditahan ketika berada di hadapan Hotel Sun Inn Mentari.
Utusan Malaysia (29 Mei 2009) :
Suri Rumah Kes Ragut Terbaru
KUALA TERENGGANU 28 Mei - Seorang wanita nyaris maut apabila beg tangannya diragut ketika menunggang motosikal di Jalan Tengku Omar, Kampung Wakaf Tembesu, Gong Badak di sini pagi ini.
Difahamkan, ketika kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Mazlina Nawang, 45, yang bekerja di kedai dobi di Sekolah Menengah Teknik Wakaf Tembesu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Mengabang Panjang, Batu Rakit di sini.
Mayat Bayi Depan Rumah
KUANTAN 28 Mei – Kes pembuangan bayi masih terus berlaku meskipun pendedahan demi pendedahan disiarkan oleh media setiap hari.
Terbaru seorang pekerja kilang di sini terkejut apabila menemui mayat seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat ditinggalkan di hadapan rumah sewanya di Taman Balok Makmur di sini hari ini.
Jenayah Khalwat Semakin Berleluasa
KUALA LUMPUR 28 Mei - ''Tahun 1960-an jarang-jarang. 1970-an kadang-kadang. 1980-an kadang-kadang ada, kadang-kadang tiada. 1990, selalu ada. Masuk alaf baru, macam cendawan tumbuh selepas hujan.'
Ungkapan pegawai pendakwa syarie, Abdul Halim Abdullah ketika mengemukakan bantahan terhadap rayuan untuk mengurangkan hukuman oleh pasangan yang dituduh berkhalwat di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mampu membuatkan sesiapa yang mendengarnya tersenyum sendiri.
Pasangan itu adalah antara lapan pasangan yang didakwa hari ini atas tuduhan berkhalwat di sekitar ibu kota antara Disember tahun lalu dan Februari lepas.
Selain 16 orang tersebut, dua lagi tertuduh masing-masing didakwa berkhalwat bersama warga Myanmar bukan beragama Islam dan bersubahat membantu perlakuan khalwat.
Berita Harian (29 Mei 2009) :
Pelajar Mengaku Khalwat
KUALA LUMPUR: "Saya tahu saya sudah mencalarkan maruah keluarga tetapi saya sudah insaf dan berjanji akan menjadi orang lebih baik selepas ini," itulah luahan pelajar perempuan Kuliah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebelum dijatuhkan hukuman penjara dan denda kerana berkhalwat.
Raden Farah Al Wani Ab Halim, 21, yang mengaku bersalah berkhalwat dengan seorang tentera yang baru lima hari dikenalinya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam, menangis teresak-esak ketika memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya.
Bagaimanapun, Hakim Syarie Mohd Radzi Abd Latif tetap menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,000 terhadapnya.
Mayat Mangsa Bunuh Dibakar
JOHOR BAHRU: Polis menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh di ladang kelapa sawit di Mount Austin, Kempas, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob, berkata mayat wanita berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemui seorang pekerja ladang kelapa sawit berkenaan.
“Sepasukan anggota serta Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dihantar ke tempat kejadian dan siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia dalam tempoh 18 jam sebelum mayatnya dijumpai,” katanya di sini, semalam.
Targhib
Untuk hari ini sahaja ( Jumaat 29 Mei 2009 ) berita di dalam akhbar Arus Perdana memaparkan sekurang-kurang 12 kes perbagai jenayah di dalam negara kita.Ini yang dapat saya paparkan untuk hari ini sahaja bagaiman esok, lusa dan seterusnya. Amat menakutkan bilamana kebanyakkan kes jenayah adalah melibatkan remaja yang pastinya ianya akan makin bertambah hari demi hari jika kita tidak mengambil sikap pencegahan yang di dasarkan garis panduan Al-Quran dan Hadith Nabi saw. Perkara begini telah pun di khabarkan oleh Nabi saw ribuan tahun yang lalu melalui sabdaan beliau :
“Bagaimana keadaan kamu wahai manusia diketika mana gulongan perempuan kamu memberontak melampaui batas kesusilaan dan pemuda-pemuda kamu menyimpang daripada kebenaran (rosak moral) berkata para sahabat,”Wahai Rasulullah saw , adakah perkara sebegini akan berlaku ?” Sabda beliau ”Ya!”
Dan lagi :
“Bagaimana keadaan apabila gulongan pemuda di antara kamu terjerumus kedalam kancah maksiat, gulongan wanita melampaui batasan, dan ramai orang yang jahil tentang agama. Berkata para sahabat,”Perkara sedemikian itu akan berlaku wahai Rasulullah?” Sabda beliau, “Yang lebih terok daripada itu pun akan berlaku juga.” (Dari Dhimam Ibn Al-Mu’firi : Al-Bida’.)
Bila kita renung dan tilek sememangnya kewajipan melaksanakan dakwah, amar ma’ruf nahi mungkar perlu di laksanakan oleh ummat Islam hari ini. Tidak hairanlah bila ada ulama-ulama mengeluarkan selaku fatwa bahawa kerja dakwah ini adalah “wajib aini / Fardhu Ain” kepada setiap individu di dalam masyarakat bila melihat maksiat yang bbegitu ketara akhir-akhir ini.
Wallahua’lam
Program Kuliah Jun 2009
1 Jun 2009 (Isn): Keluar Masturat 10 hari
11 Jun 2009 (Kha) : Pulang dari Keluar Masturat 10 hari
12 Jun 2009 (Jum) : Kuliah Bulanan Tmn Desa Oked
13 Jun 2009 (Sab) : Kuliah Bahrul Maazi Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
14 Jun 2009 (Ahd) : Kuliah Suboh Tmn Tuanku Puan Cik,Bahau.
15 Jun 2009 (Isn) : Kuliah Hadith Surau Ibrahim Garden Home F3
16 Jun 2009 (Sel) : Kuliah Muntakhabah Hadith Tmn R.Mewah/Cempaka 2
18 Jun 2009 (Kha) : Kuliah Bulanan Masjid Bandar Baru Senawang.
19 Jun 2009 (Jum) : Kuliah Bulanan Tmn Matahari Height.
20 Jun 2009 (Sab) : Kuliah Subuh Gantian oleh Syeikh Nuruddin Al Banjari
21 Jun 2009 (Ahd) : Kuliah Suboh Masjid Bongek, Rembau.
21 Jun 2009 (Ahd) : Kuliah Bulanan Tmn Desa Melor.
22 Jun 2009 (Isn) : Kuliah Bahrul Maazi Tmn Seri Pagi.
23 Jun 2009 (Sel) : Kuliah Muntakhabah Hadith Tmn R.Mewah/Cempaka 2
25 Jun 2009 (Kha): Kuliah Bulanan Pengasih Kuala Lumpur.
26 Jun 2009 (Jum): Kuliah Bulanan Tmn Lavender Height.
27 Jun 2009 (Sab): Kuliah Bahrul Maazi Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
28 Jun 2009 (Ahd): Kuliah Bulanan Tmn Dato Wan, Ampangan.
29 Jun 2009 (Isn): Kuliah Bulanan Tmn Gadong Jaya.
30 Jun 2009(Sel) : Kuliah Muntakhabah Hadith Tmn R.Mewah/Cempaka 2
Nota : Maklumkan Kepada Kawan-Kawan Setempat. Sekiranya Ada Perubahan Akan Dimaklumkan Kemudian.
Thursday, May 28, 2009
Mai Kita Pakat Renung Sejenak !
Dari Sauban r.a dari Rasulullah saw beliau bersabda: “Dua gulongan dari ummatku yang diselamatkan Allah dari Neraka. Iaitu gulongan yang berperang di India dan gulongan yang berkumpul bersama Isa a.s.” (Riwayat Nasai dan Ahmad)
Hadis ini saya ambil dari buku ‘Nuzuulu Isa Ibn maryama Aakhiraz Zaman’. Karangan Imam As-Sauyuthi. Lengkap hadisnya sebagaimana yang dikeluarkan oleh Allamah Ali Al-Qari di dalam kitab Al-Marqaah 5:658 di dalam sebuah hadis yang panjang dari Ali Zainul Abidin bin Husain r.a bahawa Rasulullah saw dalam sabdanya berkata: “bergembiralah ! bergembiralah ! Sesungguhnya perumpamaan ummatku seperti hujan, tiada diketahui yang mana satu lebih baik, yang mulanya atau yang penghabisannya, atau seperti sebuah kebun yang luas , yang dapat memberi makan kepada segulongan manusia buat setahun. Kemudiannya kepada gulongan yang lain buat setahun . Moga-moga gulongan yang terakhir itulah yang akan memperolehi bahagian yang paling banyak, yang paling baik dan yang paling bagus dari kebun itu.Bagaimana boleh binasa sesuatu ummat sedangkan aku yang menjadi pangkalnya , Al-Mahdi pula menjadi pertengahannya dan( Isa ) Al –Masih menjadi penghujungnya. Namun di dalam antara masa-masa itu memang ada masa-masa yang ‘bengkok’. Mereka yang terlibat di dalamnya tidak tergulong sebagai ummatku. Dan aku pun tidak tergulong dari mereka”
Sedikit Huraian
Bila kita lihat terjemahan hadis di atas Syeikh Ahmad Semait , Mufti Singapura menterjemahkan perkataan ‘Jihad’ dengan ‘ berperang’. Namun ulama terkenal Indonesia , H.Salim Bahreisy mengekalkan terjemahannya dengan ‘berjihad’ yang boleh difahami dengan ‘perang’ dan juga ‘dakwah’. Jika dikekalkan ‘Jihad’ dengan perkataan ‘berperang’ sekali pun pasti dan pasti kaedah berperang yang akan dilaksanakan ketika itu adalah mengikut tertib Nabi saw. Iaitu di dahului dengan ‘Dakwah’ (sebagaimana yang pernah kita terangkan di sini ), jika sekiranya ‘dakwah’ tidak diterima maka ‘Jizyah’ perlu dijelaskan. Dan jika ‘jizyah’ tidak diterima maka barulah akan berlaku ‘ Perang’ (Qital ). Maka masih ‘dakwah’ mengambil tempat yang utama.
Sebaliknya jika kita mengunapakai terjemahan ‘berjihad’ dengan diistilahkan sebagai ‘berdakwah’. Maka lengkap hadis itu mungkin begini bunyinya :
Dari Sauban r.a dari Rasulullah saw beliau bersabda : “Dua gulongan ummatku yang diselamatkan oleh Allah dari Neraka, Iaitu gulongan yang ber’Dakwah’ di India dan gulongan yang bersama Isa a.s” (Riwayat Nasai dan Ahmad
Targhib
Jadi jika Jemaah Tabligh membuat ‘tasykil’ (mengajak) berdakwah ke India ,Pakistan dan Bangladesh, maka jangan lansung kita mengatakan tidak berkait dengan hadis atau pun mengatakan taksub dengan India kerana masih ianya bersabit dari hadis Nabi saw. Perlu diingatkan bahawa asal ketiga-tiga negara itu ( India, Pakistan dan Bangladesh ) adalah ‘Benua India’ atau ‘Hind’. Hanya selepas dijajah oleh British barulah dipecahkan menjadi tiga negara.
Wallahu’alam
p/s : Insyaallah ! Siapa sedia 4bulan IPB. Insyaallah bagi nama.
Thursday, May 21, 2009
Evolusi Perbualan
Sewaktu TADIKA ( 5, 6 tahun )
Di satu sudut Taman Permainan di dalam kawasan sekolah TADIKA kelihatan dua kanak-kanak berbual sambil meminum botol minuman Ribena. Kata salah seorang temannya, “ Eh, Abah kita beli keta remort control semalam, poweeeer. Engkau ada ke?” Alaeh ! kita punya helly remort lagi power, boleh terbang. Tinggi dia terbang. Awak ada ke?” Jawab salah seorang dari kanak-kanak itu. Namun ianya disampok balek oleh temannya yang mulut masih penuh dengan air minuman Ribena, setelah menelannya ,katanya “ Nanti le kita minta abah kita beli laaaagi besar nanti boleh le awak datang main sama-sama dengan kita. Kan! Kan! “. Ye lah jawab temannya sambil kedua-duanya berjalan masuk ke kelas.
Sewaktu Sekolah Rendah ( 11,12 tahun )
Di salah satu tempat menunggu bas di hadapan sekolah. Dua orang pelajar sedang menunggu bas sekolah sambil berbual. Kata salah seorang temannya, “ Hei! Petang ni kita main basikal kat taman sebelah nak? Budak-budak kat situ memang pandai wheely bila naik basikal jauh diorang boleh buat”. Jawab temannya ‘”Boleh juga tapi basikal aku rosak sikit, boleh le aku pinjam basikal adek engkau nanti.” “Ye lah nanti aku tanyakan adek aku tapi kau datang le awal sikit” jawab temannya. “Okey, okey, okey nanti aku datang awal “ Jawab temannya tanda setuju. Perbualan mereka habis dengan kedatangan bas sekolah yang datang mengambil pelajar sekolah di situ.
Sewaktu Sekolah Menengah (16, 17 tahun )
Di salah satu tembok pembetong di salah satu Taman Perumahan kelihatan anak-anak muda belasan tahun sekitar tingkatan 4 dan 5 sedang menyanyi dengan salah seorang memetik gitar kapok seolah-olah seperti persediaan akhir Akademik Fantasia atau peringkat final gengstarz lagaknya. Nyayian mereka bertambah bersemangat apabila beberapa orang remaja perempuan lalu di hadapan mereka dengan tersengeh-sengeh. “Woit ! tak ada lagu lain ke? Asyek lagu jiwang-jiwang je, tukar le lagu rock sikit baru le ngam.” Celah salah seorang remaja yang baru sampai untuk join sekali. “Aleh ! suara macam kodok pun ada hati nak nyanyi lagu rock konooon, pirraaaah.” Jawab salah seorang remaja yang ikut menyanyi dari tadi dengan ketawa bedekah-dekah diikuti ketawa temannya yang lain. Gelagat mereka berterusan sehinggalah ke waktu Maghrib.
Sewaktu Di Universiti ( 21, 22 tahun )
Disalah satu sudut di cafeteria di IPTA (universiti ) terkenal di Malaysia kelihatan beberapa orang siswa sedang minum minuman dalam tin sambil mengadap komputer laptop sambil mulut mengunyah burger. “Hei ! semua korang ada dapat email tak tetang sorang siswi lahir anak luar nikah kat Asrama Jati.” Tanya salah seorang dari beberapa orang siswa yang melepak kat situ. “Hei ! kau ni ketinggalan le, cerita tu dah basi dah, kita orang dah lama dapat. Ni email paling panas, nak ke ? nanti aku send kat kau.” Jawab salah seorang dari mereka yang dari tadi asyek menekan butang kat keyboard laptopnya. “Hantarkan kat aku sekali aku pun nak juga. Okey,” mencelah salah sorang lagi siswa sambil ketawa kecil. “ Woi ! kau nak ke? aku lagi banyak dapat email yang panas-panas ni.” Tanya lagi seorang siswa yang rambutnya cacak terkumpul kat tengah kepala dengan stail sikat ala ‘Ultraman’.”Naaakk” bunyi suara ramai yang menyahut meminta.Mereka bersurai setengah jam kemudian.
Sewaktu Alam Pekerjaan ( 31,32 tahun)
Seorang lelaki bergegas keluar dari salah satu bank di Ibu Kota sambil tangan kanannya memegang telephone bimbit model terkini dan tangan kiri memegang kunci kereta yang remortnya terjuntai keluar. “Hooi ! lajunya kau,” sergah seorang lelaki yang lengkap bertali leher.”Eh! mu Mat, pa kabar mu? Le ni mu kak maner? Emm! Mu dah kawin ke belum? Tanya lelaki yang bergegas keluar dari bank tadi sambil menarik tangan temannya ke tepi sedikit kerana ramai yang lalu lalang kat situ. “ Aku tinggal kat Ceras. La ni aku kerja dengan satu company dari U.S, Slumberger , base kat Bukit Bintang. Aku dah ada anak dua. Dua-dua lelaki. Kan aku ada jemput kau waktu kahwin dulu?.” Jawab lelaki yang bertali leher. “Tak perasan le aku tapi aku tak macam mu walau pun bussines aku makin maju,” terang lelaki yang keluar dari bank tadi dengan suara yang agak sedih. “ Apa masaalahnya pulak? Tanya lelaki yang bertali leher. “Aku dah bercerai dengan isteri aku, dah talak tiga. Dia main kayu tiga dengan menager di tempat kerjanya. Sedih betol aku.” Terang lelaki itu dengan suara yang makin sedih.”Habis tu anak-anak kau macam mana? tanya lelaki yang bertali leher. “Semuanya dia ambil, le ni tengah fight kat mahkamah,”terang lelaki yang keluar dari bank. “La ni perempuan memang macam tu. Tah le aku pun tak tahu nak cakap, apa pun kau kena sabar” terang kawannya mententeramkan keadaan. Mereka beredar setelah bertukar-tukar bussines card.
Sewaktu Hampir Pencen ( 48,49 tahun )
Di salah Majlis Perkahwinan di satu kampong di pinggir bandar kelihatan dua orang tetamu bercakap-cakap sambil menjamu selera nasi kenduri. “ Enkau dah berapo okhang menantu? Sei dah nak masuk tigo. Sorang kek Somban sorang la ei kek Kolompo. Yang sulong lak kek Pineng . Lotih sei dengan cucu-cucu, keletah tak dapek sei nak kobar.” Cerita seorang pakcik yang rambut putih dah lebih separuh kepalanya. “Berungtah lah engkau dah ada menantu dan ada cucu. Anak aku pula lelaki yang sulong tu tak nak kahwin lagi. Umur dah 28 katanya nak sambung belajar. Yang perempuan tu pulak banyak sangat memilihnya. Tu hari datang orang Melaka meminang, banyak pula songehnya katanya belum bersedia le, tah apa lagi.Sebelum tu datang juga orang meminang dari Penang, taknak juga katanya hitam le, mamak le, entah macam-macam lagi. Agaknya belun jodoh kot.”terang temannya yang memakai ketayap putih dan sedkit janggut putih di dagunya. Perbualan mereka terhenti dengan bunyi kompang tanda kedatangan pengantin lelaki.
Sewaktu Lepas Pencen (59,60 tahun)
Di tempat menunggu di salah satu hospital swasta kelihatan seorang tua berketayap putih dan bertongkat yang wajahnya agak sedikit pucat dengan kaki yang sedikit bengkak. Beliau ditemani oleh isterinya yang tidak lengkap bertudung sekadar diletaknya di atas kepalanya sambil merungut-rungut kerana lama menunggu. Tiba-tiba keluar dari salah satu bilek seorang lelaki tua sambil duduk di atas kerusi roda ditolak keluar oleh seorang nurse kat situ. Ianya betul-betul lalu di hadapan tempat menunggu, tiba-tiba ianya di tegur.”Assalamualaikum ! tuan haji.” Sambil tersenyum salam yang diberi oleh orang tua yang bertongkat serta bangun dengan sedikit kepayahan bersalam dengan orang tua yang berkerusi roda tadi. “Alalikum salam, apa khabar kamu Deris. Kau tengok le aku ni dah tak boleh berjalan, macam-macam penyakit ada. Lama tak nampak enkau, rasanya dah hampir lima tahun.” tanya orang tua yang berkerusi roda.” Ye la tuan haji dah hampir lima tahun, bukannya apa bebudak tu minta tinggal di rumah mereka kat kolompor sejak dah kena penyakit buah pinggang ni. Senang kata mereka untuk menggurus. Ni pun pulang sekejap je ada urusan tanah.” Terang orang tua yang bertongkat. “Eh ! Mana kawan-kawan kita yang lain, HJ.Din, HJ.Ja’far, Zali, Salleh dan HJ.Rosli,” tanya orang tua yang berkerusi roda. “Tuan Haji tak tahu ke? Hj.Din dah meninggal empat tahun yang lalu, Hj.Ja’far balek kampong kat Linggi dan meninggal di sana. Zali katanya kat Senawang sakit tenat kena strok dah hampir setahun. Salleh dengar cerita balek Kelatan, tak tahu pula ceritanya. Haji Rosli pulak sekarang ni masih kat I.C.U kena lemah jantungi. Saya dapat tahu dari anak saya yang kebetulan sama-sama kerja dengan menantu beliau.” Jelas orang tua yang bertongkat. Perbualan mereka terhenti apabila seorang lelaki tiga pulohan datang menjemput orang tua yang berkerusi roda tadi.
Selepas 7 Tahun Kemudian
Di pagi Hari Raya 2015, di satu kawasan Tanah Perkuburan kelihatan satu keluarga berkumpul anak-anak dan cucu-cucu dengan masing-masing mulut berkumat kamit membaca al-fatihah kepada ahli kubur berkenaan.
(Kesemua mereka telah meninggal dunia)
Targhib
Saudara saudari semua, ini mungkin bentuk perbualan kita. Mahu tidak mahu titek terakhir perbualan kita adalah KEMATIAN yang pastinya akan menunggu kita dan tidak ada sesiapa pun yang akan terlepas darinya. Tiada ada perbualan yang sebaik perbualan melainkan perbualan yang mengajak ke arah keagamaan yang menyeru kepada kebaikan dan yang menjurus kearah perdamaian. Oleh itu perbanyakkan lah perbualan atas dasar agama.
Firman Allah swt :
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya (perbualannya) daripada orang yang meyeru (manusia) kepada Allah dan mengerjakan amalan yang saleh dan berkata ‘sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri (Muslim).” ( Fushilat :33 )
Firmannya lagi :
“Tidak ada kebaikan kepada kebanyakan bisikan (perbualan) kecuali yang menyuruh memberi sedekah atau berbuat kebaikan atau mengadakan satu perdamaian sesama manusia.Dan barang siapa yang berbuat demikian kerana mengharapkan keredaan Allah maka kami akan memberi pahalayang besar.”(An –Nisa’ :114)
P/S : Mohon maaf kerana tulisan yang agak panjang.
Saturday, May 16, 2009
Pengumuman : Kitab Bahrul Maazi
Kepada saudara/saudari yang masuk ke Blog ni, diminta sekiranya ada sesiapa yang mempunyai simpanan kitab Bahrul Maazi cetakan asal (mesir ) yang masih boleh dipakai atau keluarga atau kenalan yang mempunyai simpanan kitab berkenaan serta mereka-mereka berkenaan tidak menggunakannya, sila maklumkan kepada saya kerana saya sangat-sangat berhajat untuk membelinya.
Yang ada di dalam simpanan saya adalah tidak asli yang saya beli kira 18 tahun yang lalu. Ianya bermasaalah kerana beberapa jilid yang penting-penting tidak dapat dibaca tulisannya. Sesetengahnya tulisannya tebal dan sesetengahnya hilang. Ianya amat sukar bagi saya ketika mengajar kitab berkenaan. Saya telah berusaha mencari di beberapa pameran buku, juga di pameran buku di PWTC namun yang ada adalah cetak rompak dan isinya juga ada yang tidak jelas.
Selain dari itu saya juga berusaha mencari di sebelah Utara namun belum ditakdirkan lagi. Untuk ini saya bermohon kepada semua pengunjung sekiranya ada seperti yang dinyatakan di atas, sila maklumkan kepada saya.
Wassalam.
Friday, May 15, 2009
Pemain Bola Sepak Islam
Di antara banyak-banyak sukan permainan yang paling tinggi rating dan banyak peminat di seluroh dunia adalah permainan bola sepak. Hampir di seluroh dunia kita akan dapati sukan ini akan dipertandingkann oleh seluroh masyarakat. Dari pedalaman Afrika hingga ke pendalaman Amarika Latin. Malah sesetengah negara permainanan bola sepak ini dianggap sukan yang paling berpristij yang akan mengangkat martabat sesebuah negara. Malah disesetengah negara ianya dianggap seolah-olah ‘agama’ kedua.
Teringat kita bagaimana Perancis beberapa tahun yang lalu agak ketara menindas penduduk Islamnya, berlebih lagi kepada pendatang Islam khas dari negara-negara Islam Afrika Utara. Pengharaman tudung pada pelajar Muslim di Perancis beberapa tahun yangb lalu begitu ketara, hinggakan ianya menjadi isu antarabangsa. Namun penekanan ini berkurangan sehingga akhirnya hilang begitu sahaja.
Punca paling besar kehilangan penekanan ini adalah apabila ketika itu musim Piala Dunia 2002. Perancis telah berjaya ke perlawanan akhir mengahadapi pasukkan German dan apabila Zinedine Yazid Zidane memasukan dua gol kemenangan dan Perancis menjuarai Piala Dunia 2002. Hasilnya imej penduduk Islam khususnya pendatang Afrika Utara naik serta akhirnya Kerajaan Perancis sedar bahawa hasil kelibat dan pretasi yang baik dari pemainnya yang berasal dari Afrika Utara yang menyebabkan kemenangan Perancis serta menaikan nama Perancis. Akhirnya penekanan kepada penduduk Islam berkurangan. Begitu asbab yang dijadikan oleh Allah swt bila mahu merubah sesuatau keadaan.
Hari ini kita dapati ramai pemain Islam di dalam berbagai kelab-kelab di seluroh Eropah. Mereka-mereka samaada berasal dari keluarga Islam atau pun telah memeluk agama Islam apabila mendapati Islam adalah agama yang terbaik. Sebagai contoh: Frank Ribery pemain Kelab Bayern Muenchen, beliau memeluk Islam setelah beliau menjadi pemain Kelab Galatasary, Turki pada tahun 2005 yang lalu. Ada yang mengatakan bahawa punca sebenar beliau memileh Islam sabagai agama barunya kerana menemukan kedamaian yang terdapat di dalam Islam.
Ada pula menyatakan punca sebenar keislamannya adalah isteri beliau, Wahiba Belhami, yang berasal dari Maroko. Frank Ribery yang pernah tinggal di Moroko dan berkenalan dengan Wahiba isteri beliau. Isteri beliau inilah yang banyak memberi galakan dan menuntun beliau ke dalam Islam. Hasil perkahwinan dengan Wahiba Belhami, mereka dikurniakan dua orang cahayamata, Hizsya dan Syahinez.
Selain Frank Ribery terdapat juga lain-lain pemain dan jurulatih yang asalIslam dan yang telah memeluk Islam. Antaranya ialah :-
- Zinedine Yazid Zidane
- Kolo & Yaya Toure (Arsenal & Barcelona)
- Robin Van Persie (Arsenal)
- Nicholas anelka (Bolton)
- Mohammed 'Momo' Sissoko (Liverpool)
- Ahmed 'Mido' Hossam (Boro)
- Hossam Ghaly (Totteham Hotspurs)
- Franck Riberry (Bayern Muenchen)
- Hamit & Halil Antiltop (Bayern Muenchen & Shalke 04)
- Frederik Kanoute (Sevilla)
- Mahamaddou Diarra (Real Madrid)
- Eric Abidal (Barcelona)
- Nuri Sahin (Feyenoord Rotterdam)
- Sulley Ali Muntari (Pompey)
- Zlatan Ibrahimovic (Inter)
- Hassan "Brazzo" Salihamidzic (Juventus)
- Khalid Boulahrouz (Sevilla)
- Salomon Kalou (Chelsea)
- El-Hadji Diouf (Bolton)
- Diomanssy Kamara (Fulham)
- Mohammed Kallon (Al-Ittihad ext. Inter & Monaco)
- Thiery Henry (Barcelona/Prancis)
- Lilian Thuram (Perancis)
- Lassana Diarra (Real Madrid)
- Karim Benzema (Lyon/Perancis)
- Samir Nasri (Arsenal)
- Hatem Ben Arfa (Lyon)
Jurulatih Pasukan Bola Sepak Yang Telah Memeluk Islam
- Bruno Metsu (bekas Jurulatih Senegal)
- Phillipe 'Omar' Trousier (bekas Jurulatih Jepun)
(Sumber SuaraMuslim)
Tuesday, May 12, 2009
Once Upon A Time In Kuala Kedah Bah:2
Kampong aku adalah kampong nelayan. Segala kemudahan asas agak terlewat datang disebabkan ianya terpisah dari Pekan Kuala Kedah dengan Sungai Kedah. Rata-rata penduduk bekerja sebagai nelayan serta sebahagiannya selain sebagai nelayan juga bersawah padi memandangkan sawah padi di bahagian belakang kampong sememangnya luas.
Disebabkan kehidupan yang sederhana, maka tak banyak anak-anak kampong berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tinggi berlebih lagi dari segi pendidikan agama. Yang benar-benar mendapat pendidikan agama secara sempurna hampir-hampir tidak ada. Hasilnya masjid tidak hidup dengan amalan masjid sebagaimana sepatutnya. Masih aku ingat ketika berumur 10 tahun masjid kekadang tak dapat meneruskan solat Jumaat disebabkan bilangan solat Jumaat tidak mencukupi dan diganti dengan solat Zohor sahaja. Setiap hari Jumaat siak dan satu dua Ajk masjid ( dikenali sebagai orang 10 ) akan membasuh masjid disebabkan banyaknya tahi kambing di dalam masjid. Ini lah akibatnya bila masjid tidak dimakmorkan. Apabila ini berlaku maka gejala burok seperti berjudi , dadah, nombor ekor, amalan kurafat seperti melepaskan lancang ke laut, kepercayaan kepada keramat yang berkebetulan ada di kampong berleluasa. Dua keramat yang cukup terkenal kepada pendudok setempat dan yang berdekatan dengannya samada Melayu, Cina dan India akan datang untuk membayar nazar di situ. Terkenal dengan panggilan ‘Keramat Katak Puru’ dan ‘Badak Berendam’,dua buah meriam lama yang kononnya keramat bagi penduduk kampong dan sekitarnya.
Setiap hari Jumaat kami budak-budak kampong cukup seronok dan akan menunggu kedatang orang kampong lebih-lebih lagi penduduk luar yang akan datang membayar nazar. Bukannya apa, Cuma untuk makan free dan duit sedekah yang dibawa oleh pembayar nazar. Ada yang mandi kat situ kononnya boleh melegakan sakit kronik, ada yang mandi untuk mendapatkan anak, ada yang mandi untuk mendapatkan jodoh dan berbagai lagi. Pulut Kunyit ,pisang serta gula-gula menjadi kebiasaan yang akan dibawa oleh pembayar nazar. Kekadang kami sendiri bagi tau kat mereka-mereka yang datang bahawa Tok Keramat ( meriam Katak Puru )ni bukan boleh buat apa-apa namun karana kami budak-budak maka tak diendahkan. Ada sebahagian budak-budak lansung kencing atas Tok Keramat tu namun tak ada apa-apa pun yang berlaku. Heran juga kami sebab apa diorang ramai-ramai datang bayar nazar kat situ. Apa tidaknya kami sememangnya sering bermain kat situ setiap hari kerana tempatnya cantik tepi laut, atas kota dan banyak angin. Ianya menjadi tempat lepak pemuda kampong dan tempat mainan budak-budak.
Setelah aku dan kawan-kawan aku, ( Cik Id, Roman dan Jabat ) keluar tiga hari dengan Jemaah Tabligh di Alor Setar sekitar tahu 1979, balek sahaja ke kampong kami pun berpakat untuk menghidupkan kembali masjid yang telah kosong dengan amalan. Kami berpakat untuk azan bermula waktu Zohor. Bila azan berkumandang sahaja, kampong macam jadi huru-hara ( macam diserang Garuda ). Penduduk kampong kehairanan, “sapa pulak yang dah buang tabiat”, kata salah seorang pendudok kampong. Ada pulak yang kata, “Azan hampa macam Katak Betong”. Ada pulak yang kata, “Sapa yang dok mandai-madai ni”. Namun ada juga sabahagian kecil yang memuji. Kami bergilir-gilir menjadi Imam, kadang-kadang Cik Id, Kadang-kadang Roman, kadang-kadang Jabat dan kadang-kadang aku yang jadi imam solat. Untuk solat Z ohor dan Asar kami berempat je yang solat. Sepas solat Asar sesudah selesai zikir petang kami pun keluar mencari kawan-kawan sebaya kami untuk berdakwah (Gasht yang tak ikut adab) penuh dengan semangat (josh).
Dalam dakwah yang tak ikut tertib tu pun ramai budak-budak kampong yang datang hadir untuk solat Maghrib yang pertama kami hidupkan. Ke esokkan harinya makin ramai yang datang, sehinggalah seminggu kami berbuat demikian makin ramai anak-anak muda sebaya dengan kami memenuhi masjid. Kami terus bergilir-gilir menjadi imam solat berkebetulan ianya waktu cuti sekolah. Selepas solat Maghrib kami akan membaca Ta’lim ( baca hadis Nabi saw ). Malamnya kami pakat-pakat iktikaf di masjid serta bertahajud beramai-ramai. Gelagat kami diperhatikan oleh beberapa orang-orang masjid dan akhirnya mereka ikut datang berjemaah untuk solat Maghrib, Isyak dan Suboh. Hujong minggu kami akan mendatangi Tn Guru Hj.Ahmad kira-kira 3 batu dari kampong kami, berguru dengan beliau serta belajar Fiqh dan Nahu dengan Ustaz Abdul Aziz menantu Tn.Guru yang baharu pulang belajar di Dioband, India. Penduduk kampong ada yang menfitnah kami dan ada juga yang memuji. Namun berkat pertolongan Allah swt ramai juga anak muda kampong yang dapat kami taskilkan untuk keluar Jemaah. Selepas itu jemaah makin ramai dan masjid telah hidup lima waktu solat berjemaah sehinggalah masjid baru dibina. Amalan kurafat Tok Keramat , berjudi , nombor ekor serta tabiat burok lama-kalamaan hilang dari kampong tersebut.
Setelah kami selesai sekolah maka kami terpisah, Cik Id sambong kursus Pembedahan Gigi, Jabat terlibat dengan bussines , Roman menjadi Juruteknik Jabatan Saliran, manakala aku tinggal di Kuala Lumpur dan menyambong pelajaran di UITM serta bekerja di LKIM. Kami membawa haluan masing-masing namun akan berkumpul kembali sewaktu cuti Hari Raya apabila pulang ke kampong. Bila kami bertemu orang-orang tua kampong, mereka memuji usaha kami memakmorkan masjid. Pernah bila aku balek ke kampong pada Hari Raya, Ajk Masjid menjemput aku berkhutbah Hari Raya. Dalam khutbah, tatkala aku menyentuh kehidupan lama kampong ramai ibu bapa serta orang tua-tua kampong yang minitik air mata bercucuran.
Kini yang tinggal hanyalah kenangan, Kampong pun telah diroboh dan dipindah ke penempatan baharu, ramai orang tua kampong telah meniggal dunia, Roman pun telah meninggal dunia sehari sebelum Hari Raya 2007. Yang tinggal aku,Jabat dan Cik Id, aku menghitung hari bila giliran dipanggil oleh Allah swt. Hanya Allah swt sahaja yang mengetahui rahsia hati. Umur makin meningkat. Anak-anak makin dewasa, kehidupan zaman muda telah berlalu, masa akan datang pasti mendatangi. Untuk memikirkan persoalan dunia rasanya tidak ada masa. Baki masa yang ada, hasrat hati nak habiskan untuk kerja agama, beribadat membetulkan amalan agar boleh menarik pertolongan Allah swt serta ilmu yang sedikit ini nak jadikan menafaat selepas kematian. Semuanya berlalu begitu pantas, rasanya hanya beberapa hari sahaja, begitu resmi dunia. Bila dikenang-kenang , airmata pasti berhamburan....betapa singkatnya umur ini.
Friday, May 8, 2009
Dakwah di dalam Jihad Perang
( Jawapan Kepada Komen Arrahmah.com Tentang Ucapan Hj.Abdul Wahab Sahb pada Tajuk :Pemimpin Jamaat Tabligh Mencela Syariat Yang Ditegakkan Melalui Jihad )
Hadis Pertama :
Dari Abi al-Bakhtari ( menceritakan ) bahawasanya satu pasukan tentera daripada tentera-tentera kaum muslimin yang mana ketua mereka ialah Salman Al-Farisi r.a telah mengepong satu istana daripada istana-istana Parsi, lalu berkata ( anggota pasukan tersebut ) :"Wahai Abu Abdillah ! Kenapa kita tidak bangkit menyerang mereka?" Jawab ( Salman ) : "Biarkan aku mendakwahkan mereka sebagaimana aku telah mendengar Rasulullah saw mendakwah ( satu kaum semasa berlaku satu peperangan )"
Maka Salman r.a pun mendatangi mereka dan berkata kepada mereka:"Sesungguhnya aku ini seorang lelaki Parsi sama seperti kamu, dan kamu boleh melihat bagaimana orang-orang Arab mentaati aku, jika kamu memeluk agama Islam maka bagi kamu sepertimana apa yang sepatutnya bagi kamu, dan tututannya ke atas kamu sama seperti tututan yang dikenakan ke atas kami. Sebaliknya jika kamu enggan ( memeluk agama Islam )dan berkeras atas agama kamu, maka kami biarkan kamu atas agama kamu dan kamu hendaklah membayar "Jizyah"( Cukai kepala ) kepada kami dan kamu di dalam keadaan hina. " Kata periwayat, dia berbicara kepada mereka di dalam bahasa Parsi:"...dan kamu tidaklah di dalam keadaan terpuji, dan jika kamu enggan juga kami akan perangi kamu habis-habisan."
Jawab mereka,"Kami sekali-kali tidak akan membayar "Jizyah" malah kami akan memerangi kamu.". Berkata salah seorang anggota kaum Muslimin," Wahai Abu Abdillah, mengapa kita tidak bangkit sahaja memerangi mereka?" Kata Salman r.a,"Tidak".Sehinggalah beliau mendakwahkam mereka selama tiga hari dengan perkara yang sama seperti hari sebelumnya, akhirnya beliau memerintahkan:"Seranglah mereka sekarang". Kata periwayat,"Lalu kami pun memerangi mereka dan kami berjaya menawan istana tersebut." ( Hadis riwayat At-Tarmizi dan hadis ini bertaraf hasan )
(Bahrul Maazi Jld 11)
Hadis Kedua :
Dari Sahal bin Saad r.a meriwyatkan bahawa Rasulullah saw bersabda kepada Ali r.a pada hari perang Khaibar,"Hai Ali berjalanlah engkau sampai ke perkampongan mereka, kemudian dakwahlah mereka kepada agama Islam dan terangkan kepada mereka mengenai kewajipan-kewajipan mereka kepada hak-hak Allah. Demi Allah! Sekiranya Allah memberi hidayat kepadn seseorang di antara mereka melalui kamu maka itu lebih baik bagi kamu daripada mendapat unta merah".( Hadis riwayat Muslim : 6223 )
( Muntakhab Ahadis )
Hadis Ketiga :
Dari Abdur Rahman bin A'iz r.a meriwayatkan bahawa Nabi saw apabila mengutuskan sesuatu pasukan, maka beliau akan bersabda: " Jalinlah hubungan baik dengan manusia, berkasih sayanglah dengan mereka dan jangan lah kamu memerangi mereka sehingga kamu mendakwahkan mereka. maka tidaklah ada di muka bumi daripa ahli rumah di kampong atau di bandar kecuali mereka semua kamu bawa kepadaku dalam keadaan Islam kerana yang demikian itu tersangat aku sukai daripada kamu membunah lelaki-lelaki mereka dan kamu datang membawa wanita-wanita mereka." ( Al-Mutalabul A'liyah :166, Al-Isyobah III/152 )
Targhib Dari Hadis Di Atas :
Daripada ketiga hadis di atas, amat-amat jelas bahawa amalan dakwah adalah amalan tertinggi melebihi daripa jihad perang. Ini adalah kerana di dalam jihad perang sendiri kita berkewajipan untuk mendakwahkan musoh terlebih dahulu sebelum memerangi mereka. Bayangkan bagaimana pula di dalam keadaan aman, maka tersangat-sangat penting dakwah dilaksanakan dikalangan masyarakat umum. Berlebih lagi apabila syarat kepada jihad perang memerlukan kepada 3 perkara:
a ) Imam ( Khalifah )
b ) Pengasingan Saf-Saf ( Saf Muslimin dan Saf Kafir )
c ) Tarbiah
Jihad perang tertakluk kepada kewujudan Imam (Khalifah).Maka demikian pula Imam (Khalifah) tidak akan ujud melainkan dengan Iman dan Amal soleh. Iman dan Amal Soleh tidak akan ujud melainkan dengan Tarbiah. Tarbiah tidak akan terhasil melainkan dengan Dakwah. Ini bersabit dari firman Allah swt :
"Dan Allah menjanjikan kepada orang-orang beriman di antara kamu dan yang beramal soleh bahawa mereka akan diberikan 'Kekhalifahan' di muka bumi sebagaimana yang telah diberikan kepada orang-orang sebelum mereka dan akan diteguhkan kedudukan agama mereka yang telah diredhai untuk mereka. Dan akan ditukarkan kepada mereka setelah ketakutan itu kepada aman sentosa. Mereka menyembah aku dan tidak mempersekutukan barang sesuatu dengan aku." ( An Nur : 55 )
Wallahu'alam
P/s : Hasil tarbiah melalui dakwah, sila lihat artikel "Ibadur Rahman",Mubtada khabar.Khabar ( 9 sifat ) adalah hasil dari dakwah. Wallahu'alam
Tuesday, May 5, 2009
Ibu Curang Seterika Anak ( Harian Metro )
KUALA LUMPUR: Seorang ibu sanggup menjadikan anak perempuannya yang berusia 12 tahun sebagai tempat melepaskan geram terhadap suami, termasuk menekap seterika panas ke anggota tubuhnya hingga melecur.
Mangsa yang menuntut di sekolah agama di Klang turut dibelasah dengan menggunakan batang penyapu bertalu-talu di kaki hingga lebam.
Sumber polis menyatakan tindakan kejam si ibu berusia 28 tahun itu disebabkan dia mengesyaki mangsa membocorkan rahsia hubungan sulitnya dengan lelaki lain kepada suaminya.
Katanya, kejadian terbabit dibongkar seorang ustazah sekolah terbabit yang sangsi terhadap kesan kecederaan teruk dialami mangsa.
Targhib Pada Berita Di Atas:
Dari Umar bin Khathab ra ia bercerita, “ Pernah beberapa orang tawanan perang di bawa kehadapan Rasulullah saw, ketika itu ada seorang tawanan perempuan yang mencari-cari( sesuatu ), tiba-tiba ia bertemu seorang anak kecil di antara para tawanan, ia pun segera mengambil anak kecil itu lalu dipangkunya dan disusuinya. (Melihat perkara itu ) Rasulullah saw pun bersabda kepada kami, “Apa pendapat kamu semua tentang perempuan itu? ( Sanggupkah ) ia melemparkan anak kecilnya ke dalam api?” Kami menjawab, “ Tidak, Demi Allah walau pun ia boleh berbuat begitu namun pasti tidak mungkin ia akan berbuat demikian.” Lalu Rasulullah saw pun bersabda, “Sesungguhnya Allah swt lebih menyayangi hamba-hambanya melebihi sayangnya seorang ibu kepada anaknya”. ( Muslim : 6978 )
Sabda Nabi saw lagi:
Dari Aisyah r.ha berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, “Sesiapa yang memelihara anak (anak-anak ) perempuan dan memeliharanya dengan baik, maka anak ( anak-anak ) perempuan ini akan menjadi benteng baginya daripada api neraka.” ( Bukhari : 5995 )
Sabdanya lagi :
Dari Aisyah r.ha menceritakan ,”Telah datang seorang A’rab kepada Rasulullah saw, lalu berkata, “Kamu semua suka mencium anak-anak kamu? Kami tidak pernah mencium anak-anak kami,” Nabi saw besabda, “ Apa kah aku mampu menahan jika Allah swt mencabut rahmatnya dari hati kamu.” ( Bukhari : 5998 )
Bila Berita di atas diukur dengan hadis Nabi saw yang dipaparkan, kita dapati sifat keibuan telah hilang dan terkikis dikalangan umat hari ini. Sedangkan berdasarkan hadis di atas, tawanan perang yang kafir pun masih mempunyai perasaan sayang kepada anak-anak. Malah jika kita fikir-fikirkan binatang yang nafsu melebihi daripada akal pun masih menyayangi anak-anak berbanding manusia yang tercicir agamanya ( keislamannya ) dan yang berdegil tidak mahu mengambil Islam di dalam kehidupan mereka.
Malah sekiranya mereka memahami bagaimana Islam memberi ruang yang amat luas kepada sesiapa sahaja yang dapat memelihara anak-anak perempuan mereka dengan baik akan menjadi benteng dari Api Neraka. Namun atas ketandusan hidayat serta kejahilan agama maka semua ini tercicir di dalam masyarakat kita. Berlebih lagi apabila nafsu yang menguasai hidup berbanding suluhan hidayat dari Tuhan. Na’uzubillah.
Demi Allah selama usaha menyedarkan umat ditinggalkan selama itulah kita akan menghadapi ratusan dan ribuan kisah-kisah seperti di atas. Maka perlu umat ini bangun dari kelalaian dan yang telah sedar dari tidur dan mimpi ngeri kembali bangun mengenepikan kain yang telah lama menyelimutkan kita. Bangun dengan Kalimah “Qum Fa Anzir Wa Robbaka Fakabbir”. Bangun untuk memberi peringatan ( dakwah ) dengan membesarkan Allah bukan besarkan Logo, Group, Mursyid, Jemaah, Kumpulan, Partai , Tariqat dan sebagainya yang bersifat “makhluk”. Tapi besarkan “ALLAH” yang bersifat "Qadim"
Wallahu'alam
Friday, May 1, 2009
Program Kuliah Mei 2009
1 Mei 2009 : Kuliah Suboh Masjid Taman Tuanku Puan Cik, Bahau.
4 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Garden Home Surau Ibrahim
5 Mei 2009 : Kuluiah Bahrul Maazi Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
7 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Gadong Jaya
8 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Desa Oked
9 Mei 2009 : Kuliah Bahrul Maazi Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
10 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Desa Melor
11 Mei 2009 : Kuliah Bahrul Maazi Jld 7 Tmn Sri Pagi
12 Mei 2009 : Kuliah Muntakhabah Hadis Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
14 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Jasmine
15 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Matahari Height
16 Mei 2009 : Kuliah Suboh Bahrul Maazi Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
17 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Dato Wan
18 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Cempaka Fasa 1
19 Mei 2009 : Kuliah Muntakhabah Hadis Tmn Rose Mewah /Cempaka 2
21 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Pengasih Kuala Lumpur
22 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Tmn Levender Height
23 Mei 2009 : Kuliah Suboh Bahrul Maazi Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
26 Mei 2009 : Kuliah Muntakhabah Hadis Tmn Rose Mewah /Cempaka 2
28 Mei 2009 : Kuliah Bulanan Masjid Bandar Baru Senawang
29 Mei 2009 : Program di Pasir Gudang, Johor Bahru.
30 Mei 2009 : Kuluar 10 Hari Jemaah Masturat
Maklumkan Kepada Kawan-Kawan Setempat. Sekiranya Ada Perubahan Akan Dimaklumkan Kemudian.
Subscribe to:
Posts (Atom)