MAKLUMAN :


widgeo.net

Friday, October 16, 2009

Suhbat Bersama Maulana In’amul Hassan Kandahlawi rah.


Sewaktu kuliah Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki pada Ramadhon yang lalu, beliau ada menyentuh mengenai kemulian Maulana In’amul Hassan rah (Amir ketiga Jemaah Tabligh). Antaranya beliau berkata bahawa Maulana In’amul Hassan ini adalah termasuk seorang yang sentiasa berzikir sehingga zikir harian beliau mencecah 70,000 sehari semalam. Juga kata beliau bahawa sewaktu beliau dilantik menjadi syura (kata Syeikh yang bermaksud Amir /Hadrat ji Jemaah Tabligh) orang yang memutuskan siapakah yang akan menjadi amir ketika itu ( Maulana Zakaria rah) memerintahkan setiap orang yang ada di dalam majlis berkenaan keluar melainkan dia yang pernah melihat malaikat. Akhirnya semua keluar yang tinggal hanyalah Maulana In’anamul Hassan rah. Beliau menangis terisak-isak kerana rahsia beliau selama ini telah terbocor. Kisah ini beliau mendengar dari Syeikh Abdul Wahab, Amir Pakistan. (Mungkin ketika beliau hadir di Ijtimak Indonesia baru-baru ini)

Maulana In’amul Hassan, Amir kedua Jemaah Tabligh ini adalah seorang yang sangat alim khusus di dalam bidang hadis.Beliau mempelajari ilmu agama dari beberapa orang ulama terkenal di India juga khusus dari ulama di kalangan keluarga sendiri. Beliau termasuk seorang ulama besar India yang oleh Syeikhul Hind (Maulana Mahmudul Hasan rah) dijuluki sebagai “Gudang Mufti” Beliau juga termasuk salah seorang guru kepada Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki, Makkah (Al’Iqdul Farid: 16).

Sebenarnya amir-amir Jemaah Tabligh, kesemua mereka adalah dari keturunan Abu Bakar r.a yang silsilah keturunan mereka ini dijagai sehingga sekarang. Kalau kita membaca biography keturunan mereka, kita akan dapati bahawa perkahwinan mereka adalah di dalam lingkungan keluarga terdekat demi menjaga silsilah keturunan tersebut.
Seperti mana kita bertanya kepada orang-orang keturunan India yang lahir dan tinggal di Malaysia, “Kamu orang mana?”. Pasti dia akan menjawab,”Saya orang Malaysia.” Yang sebetulnya dia orang Malaysia tetapi keturunan India. Begitu juga dengan keluarga amir-amir Jemaah Tabligh ini, mereka adalah orang India tetapi berketurunan Arab dari rumpun Abu Bakar r.a.

Pada tahun 1991, aku diberi kesempatan mengerjakan haji dan pada tahun yang sama ramai elders dari India, Pakistan dan Bangladesh ikut mengerjakan haji. Maulana In’amul Hassan juga datang mengerjakan haji beserta dengan beberapa orang dari Markaz Nizamuddin India. Ketika berada di Madinah, kami beberapa kali dijemput untuk mendengar nasihat dari ulama-ulama ini. Sewaktu berada di sebelah kiri kuburan Nabi saw, aku dapati Maulana In’anul Hassan di tolak masuk di atas kerusi roda dari pintu Bab Al-Nisak yang sememangnya dibuka untuk semua jemaah masuk. Ketika di tolak masuk ke dalam Masjid oleh pembantu beliau, aku dapati semua ahli jemaah mengelak memberi laluan kepada beliau. Wajah beliau yang begitu berseri-seri menjadi tarikan ribuan jemaah dari berbagai negara ketika itu. Mereka berebut-rebut untuk bersalaman dengan beliau namun dilarang berbuat demikian disebabkan kesihatan beliau yang tidak mengizinkan. Setelah memberi salam kepada Rasulullah di kuburan, beliau akan bersolat sunat dan duduk beberapa lama menunggu solat. Kami mengambil kesempatan untuk berada bersama-sama beliau. Beberapa orang-orang Arab yang tidak mengenali beliau bertanya kepada aku siapakah syeikh berkenaan. Aku memberitahu mereka bahawa beliau adalah seorang ulama dari India. Biasalah tidak ramai orang mengenali ulama-ulama Jemaah Tabligh kerana Jemaah ini tidak ada akhbar, pamplet ,Brochures dan lain-lain. Selain itu mereka-mereka ini tidak dijemput untuk menghadiri sebarang seminar melainkan Maulana Abul Hassan Ali Nadwi rah.


Sewaktu Ijtimak Raivind, Pakistan, Maulana In’amul Hassan hadir pada hari akhir untuk berdoa. Ramai saudara-saudara Arab tidak pernah melihat dan mendekati beliau. Mereka hanya biasa dengan ulama-ulama di Markaz Raivind di Pakistan sahaja. Namun apabila mereka terpandang sahaja Maulana In’amul Hassan mereka seperti separuh gila. Apa tidaknya wajah beliau begitu bercahaya menjadi tarikan sesiapa sahaja yang melihat beliau. Betul-betul dihadapan aku beberapa orang saudara dari Negara Arab ini seperti separuh gila cuba meluru mendapatkan Maulana namun mereka dihalangan oleh petugas sekuriti sambil mententeramkan keadaan. Setelah Maulana menaiki kenderaan, ada yang cuba bergayut pada kenderaan tersebut. Begini keadaan gelagat mereka di kalangan saudara Arab yang tidak pernah melihat maulana dengan wajah yang begitu bercahaya. Ada seorang ahli jemaah dari U.S yang datang ke Markas Nizamuddin, India. Beliau seorang yang berkulit hitam dengan badan sasa yang cukup cekap di dalam seni mempertahankan diri, menceritakan, “ Aku tak pernah takut dengan sesiapa pun walaupun ia lebih besar dari aku. Pasti aku akan lawan. Namun setelah aku melihat Maulana In’amul Hassan, wallahi! aku terkencing.” Cerita beliau ketika waktu rehat di Markaz Nizamuddin, India. Bayangkanlah bagaimana kehebatan sahabat-sahabat Nabi khususnya Umar r.a yang menjadi ketakutan pada musuh hanya sekadar mendengar nama sahaja.

Pada tahun 1992 aku diizinkan tuhan untuk keluar lagi di India. Pada cillah (40 hari ke tiga) akhir, aku terkepung di Markaz Nizamuddin disebabkan Delhi diistiharkan curfew selama seminggu. Ianya adalah kerana Masjid Babri di Ayodoya diruntuhkan oleh fanatik-fanatik Hindu. Kebiasaanya sesaorang itu akan berada hanya 3 hari sahaja dan akan dihantar keluar di route yang diputuskan. Namun disebabkan curfew, maka kami tinggal hampir seminggu di Markaz Nizamuddin. Ketika ini aku dan teman aku yang sedang belajar di Shaharanpur juga ikut terkepung. kami mengambil kesempatan ini untuk berada bersama Maulana In’amul Hassan setiap hari selepas solat Asar untuk duduk berzikir bersama beliau. Belum pernah aku merasai kelazatan berzikir sepanjang hidup aku sehingga kini melainkan ketika berzikir bersama beliau. Sedangkan ketika itu aku hanya berzikir dengan zikir biasa sahaja iaitu tasbih, selawat dan istighfar, namun ianya terasa begitu khusyuk sekali. Mungkin kerana aku berada bersama beliau serta kesan zikir beliau tertempias kepada aku. Ini sebagaimana yang telah diterangkan oleh Maulana Zakaria rah di dalam kitab beliau Fadhilat Zikir yang mana terkadang-kadang kesan zikir dari sesaorang yang dekat dengan Allah akan memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang berada berdekatan beliau.

Aku melihat beliau sentiasa berzikir dengan mulut beliau berkumat- kamit. Beliau tidak memegang sebarang biji tasbih namun kedua-dua belah tangan kanan dan kiri digunakan untuk berzikir. Ibu jari dan jari telunjuk akan sentiasa bergerak-gerak seperti kita mengira biji tasbih. Jika sesiapa yang datang menjumpai beliau beliau akan melayani namun jari-jari tangan tadi tetap akan bergerak. Sepanjang kami berzikir di dalam bilik Maulana In’amul Hassan tidak ada orang lain hanya aku, teman aku dan satu dua lagi maulana yang aku tidak kenali. Di hujung-hujung masa iaitu sekitar 5,6 hari barulah waktu curfew itu ditarik balek oleh pemerintah. Aku lihat ramai tetamu yang datang dari jauh dan bertemu dengan Maulana. Rupanya waktu itu adalah waktu mesyuarat syura-syura seluroh India, Pakistan dan juga Bangladesh. Kami mengambil menafaat dari mesyuarat berkenaan untuk mendengar nasihat dari beberapa elders yang datang. Ini termasuklah nasihat dari Maulana In’amul Hassan sendiri.Nasihat dari Maulana Umar Palampuri, Maulana Said Ahmad Khan dan juga Haji Abd Wahab. Kesemua nasihat mereka cukup memberi kesan kepada kami.

Aku dan teman penah bertanya kepada Maulana Mustaqim sewaktu makan bersama beliau di Markaz Raivind, Pakistan, “Mengapa kulit Maulana In’amul Hassan putih begitu? Jawab beliau, “ Maulana In’amul Hassan terkena serpihan sihir. Kata Maulana Mustaqim lagi, “ Kulit Maulana yang sebenar hanya kamu boleh lihat sewaktu beliau memejamkan mata iaitu kulit di atas kelopak matanya sahaja warna kulit asal beliau.” Tambahnya lagi,” Jika beliau lalai sahaja dari berzikir pasti beliau akan terkena sihir yang dihantar oleh gulongan Hindu dan juga gulongan “Brelwey” (Grave worshipper).

Mungkin ada orang berkata bahawa aku terlalu fanatik dengan Maulana In’amul Hassanh namun aku berani bersumpah bahwa aku tidak berani menatap mata beliau. Kalau beliau memandang kepada aku pasti aku akan menundukan mata aku ke bawah. Apabila beliau melihat ketempat lain barulah aku akan menatap wajah beliau. Ini adalah kerana kehebatan yang ada pada beliau serta wajahnya yang cukup bercahaya. Saat paling aku merasa takut adalah saat seorang India tiba-tiba datang meluru kepada beliau. Entah macam mana orang India ini boleh lepas tiga kawalan sekuriti. Beliau tiba-tiba menengking lalu orang India itu lari keluar dengan ketakutan. Kata kawan aku ramai orang India yang cuba loloskan diri masuk khususnya yang berfahaman ‘brelwey’ yang kekadang untuk melepaskan sihir.

Pengalaman suhbat bersama beliau benar-benar memberi kesan yang mendalam di dalam jiwa aku yang cukup sukar untuk dilupakan. Apa lagi ketika itu berpeluang berbaiat dengan beliau. Isteri aku yang keluar masturat pada tahun 1990 juga berpeluang tinggal di rumah isteri beliau untuk selama 3 hari. Wanita ketika itu juga berpeluang bebaiat dengan beliau. Ianya juga memberi kesan yang mendalam di dalam jiwa.

P/s : Bukanlah maksud aku untuk menggangkat elders Jemaah Tabligh atau bersikap ‘ghulu’ terhadap Maulana Jemaah Tabligh. Namun apabila Syeikh Nuruddin Al-Banjari Al-Makki menceritakan demikian maka aku terpanggil untuk meceritakan juga pengalaman yang aku pernah tempuhi.

Sunday, October 11, 2009

Adakah Kita Kebal Dari Bala Musibah?


Berita Di Akhbar Harian:


Hj.KAHAR RASUL MELAYU

Abdul Kahar ditangkap pada 16 September lalu di rumah sewa di Sungai Long dan ditahan di Penjara Sungai Buloh. Pertuduhan mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 (c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Bagi tuduhan pertama, ketua ajaran sesat yang diharamkan pada 1991 itu mengaku bersalah menyebarkan doktrin palsu dengan mendakwa solat cukup sekadar mencegah kemungkaran dan ibadah haji sia-sia dan merugikan.

Abdul Kahar juga didakwa membuat dakwaan palsu dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul Melayu yang bertentangan ajaran Islam.

Dia juga menghadapi tuduhan menghina Islam dengan mengeluarkan perkataan yang berbunyi ‘sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang-tonggeng dan membebel sorang-sorang (merujuk kepada solat).
Dia juga menghadapi tuduhan keempat menyebarkan pandangan bertentangan fatwa dengan mendakwa sebagai Rasul Melayu, solat tidak wajib dan ibadah Haji tidak perlu ditunaikan di Makkah sebaliknya boleh dikerjakan di mana-mana saja.

Bagi tuduhan kelima, Abdul Kahar didakwa mengingkari arahan mufti apabila mengajar ajaran sesat itu di depan tiga individu lain sekali gus menghina pihak berkuasa agama yang sudah mewartakan ajaran itu sebagai sesat.


RANCANG BUNUH, BAKAR

KUALA LUMPUR: Nasib tiga tertuduh dalam kes bunuh pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakaruddin Busu, lima tahun lalu akan diketahui 13 November ini apabila Mahkamah Tinggi di sini, memberikan keputusannya.

Hakim Datuk Muhammad Ideres Muhammad Rapee menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan selesai membuat hujahan balas terhadap hujahan peguam bela yang didengar pada 15 September lalu.

Terdahulu, dalam hujahan balas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail, berkata ketiga-tiga tertuduh, Sulkarnain Alias, 32, Noorman Ab Wahab, 31, dan Azizul Azual Mohamad Jailani, 24, membuat perancangan awal membunuh mangsa dengan menikam menggunakan pedang seterusnya membakar mayat bagi melupuskan bukti.


BERSALIN SEHARI LEPAS NIKAH

ALOR STAR: Akad nikah kelmarin, namun semalam dimasukkan ke wad kerana sakit hendak bersalin adalah pengalaman dilalui seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dari Kuala Kedah dekat sini, apabila dikurniakan zuriat hanya sehari selepas bergelar isteri.

Kejadian menimpa remaja itu disebabkan dia terlanjur dengan teman lelaki berusia 19 tahun.

Difahamkan, remaja itu cuba menyembunyikan kandungan daripada pengetahuan keluarga, tetapi tidak bertahan lama apabila ibunya mengesan perubahan bentuk tubuhnya dan mendesaknya menceritakan perkara sebenar.

Sebaik mengetahui itu, keluarganya berjumpa keluarga teman lelakinya sebelum mereka mengambil keputusan menyelesaikan perkara itu secara baik dengan menyatukan kedua-dua remaja itu sebagai suami isteri.


MANGSA LELAKI JAHANAM

KUALA LUMPUR: Dia hanya berusia 14 tahun tetapi masa depannya diragut akibat dirogol seorang lelaki beristeri empat, menyebabkannya kecewa lantas merelakan teman lelaki serta rakan sekolah ‘membaham’ tubuhnya hampir setiap hari selama berbulan-bulan.

Setiap kali berpeluang, dia sanggup melakukan hubungan seks dengan seorang atau hingga lapan lelaki sekali gus dan lebih teruk lagi, aktiviti terbabit dilakukan di stor sekolah tempatnya belajar.

Gadis tingkatan dua itu yang mahu dikenali sebagai Roslina mendedahkan perilaku buruknya bukan untuk berbangga, sebaliknya sebagai pengajaran kepada pihak lain dan dia kini bertaubat.


CABUL SISWI IPTS

DENGKIL: Seorang lelaki gila seks dikesan menyamar sebagai pemandu teksi semata-mata untuk melampiaskan nafsu dengan mencabul siswi sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di sini, baru-baru ini.

Selain berpakaian lengkap dan berlagak seperti pemandu teksi, lelaki berkenaan bertindak licik dengan menukar nombor pendaftaran teksi yang digunakannya dalam usaha mengaburi pihak berkuasa.


20,000 HADIRI GEGARIA

DUNGUN: Hari kemuncak Karnival GegaRia Harian Metro Dungun 2009 yang berlangsung di Dataran Dewan Merdeka, di sini, terus mendapat sokongan penduduk setempat dan luar daerah ini apabila lebih 20,000 pengunjung membanjiri dataran berkenaan sejak bermula awal pagi, kelmarin.

Walaupun keadaan cuaca sejak beberapa hari lalu kurang memuaskan, ia tidak menghalang pengunjung memberi sokongan dengan menyertai semua program diatur sepanjang ia berlangsung.

Pelbagai acara tradisi dan aktiviti disediakan untuk semua peringkat usia termasuk dam haji, wau, pertandingan teh tarik, mewarna, juara band Metro serta kereta cantik yang semuanya menawarkan hadiah menarik.

Program sepanjang dua hari dimulakan dengan pertandingan fit soccer yang menawarkan hadiah lumayan dengan setiap penyertaan dikenakan bayaran sebanyak RM100.


REMAJA SOROK BAWAH SOFA

PASIR PUTEH: Remaja perempuan memberi alasan mahu membuat persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala remaja lelaki menyorok di bawah sofa.

Itulah keadaan yang berlaku selepas pasukan sukarela mencegah maksiat, Skuad Amru, menyerbu sebuah rumah di satu taman perumahan, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam, seorang pelajar perempuan dikatakan ke rumah rakan perempuan yang ketika itu turut bersama seorang rakan lelaki di rumah terbabit.

Ketua Operasi Skuad Amru, Zin Arif Hassan, berkata mereka menerima aduan daripada orang awam yang memaklumkan kehadiran beberapa remaja di dalam rumah berkenaan tanpa ditemani ibu bapa masing-masing.

TARGHIB :

Berdasarkan berita-berita di atas, adakah negara kita ini kebal dari bala dan musibah dari Allah swt?. Bila dilihat di negara-negara jiran kita terkena bala musibah dasyat, Indonesia dengan gerakgempanya, Philipina dengan ribut taufannya. Kampuchea, Vietnam dan Laos juga dengan ribut taufannya. Australia dengan taufan merahnya. India dengan banjir besarnya. Melihat bala musibah di negara-negara jiran, adakah kita boleh mendabik dada kerana kita kebal dengan bala musibah dari Allah swt?.

Belum tentu kita selamat wahai saudara saudari semua jika maksiat di atas berterusan manakala dakwah ditinggalkan. Jika di lihat pada hadis di bawah ini :

Dari Ursi ibn Amirah r.a berkata bahawa Rasulullah saw bersabda, " Sesungguhnya Allah tidak akan mengazab masyarakat banyak di sebabkan kejahatan segelintir mereka, sehingga segelintir mereka-mereka itu melakukan kejahatan yang sebenarnya mampu dicegah oleh masyarakat banyak tetapi mereka tidak berusaha mencegahnya. Jika terjadi demikian maka Allah mengambil keputusan untuk membinasakan semuanya masyarakat banyak dan juga segelintir." (Riwayat Tabrani : majma'uz Zawaa'id)

Juga hadis di bawah ini :

Dari Zainab binti Jahsyi r.ha menceritakan,"Aku bertanya Rasulullah saw, Wahai Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami ada orang-orang yang salih?" Rasulullah saw menjawab," Ya, apabila kejahatan telah berleluasa (bermaharajalela)" (Riwayat Bukhari :7135)

Juga jika tidak ada kesedihan dan kerisauan di atas maksiat yang banyak seperti berita di atas juga akan mengundang bala dan musibah dari Allah swt. Bersabit dari hadis Nabi saw bahawa Allah swt mewahyukan kepada Jibrail a.s untuk terbalikkan sekian bandar bersama penduduknya. Namun Ia kembali pada Allah dan mengkhabarkan bahawa di bandar berkenaan terdapat seorang hamba Allah yang tak pernah bermaksiat sekelip mata pun. Namun Allah swt berfirman hancurkan bandar berkenaan atasnya dan atas yang lain kerana pada wajahnya tidak ada sedikit pun kerisauan atas maksiat yang berlaku.

Jika dilihat di Mekah pada awalnya lebih maksiat dari sekarang. Segala-gala maksiat ada di sana. Zina, Minum arak, pembunuhan malah membunuh anak hidup-hidup, Tawaf dengan berbogel dan berbagai lagi maksiat. Orang yang terlaknat yang dilaknati oleh Allah swt pun ada di dalamnya. Namun tidak ada bala musibah seperti sekarang ini. Mengapa? Kerana adanya kerisauan dan dakwah oleh Nabi saw dan sahabat r.hum.

Nabi sentiasa risaubimbang atas umatnya ketika itu sebagaimana hadis Nabi saw:

dari Hindun bin Abi Ahalah r.a berkata." Adalah Nabi saw orang yang terus menerus dalam kesedihan dan risau (atas keadaan umatnya), beliau tidak pernah merasa tenang, banyak berdiam dan tiada bercakap tanpa keperluan." ( Riwayat Tirmizi : 226)

Fikir-fikirkanlah.

Tuesday, October 6, 2009

Padang Yang Aku Kenali



Bila melihat bencana gerak gempa di Padang, ia mengingatkan aku saat-saat aku keluar 40 hari di sana tahun lepas. Tiga route di sekitar Kota Padang, baki adalah di Padang Panjang, Bukit Tinggi, Paya Kumboh dan juga Batu Sangkar. Semasa berada di Kota Padang, banyak juga mereka-mereka yang kami khususi. Ada orang khawas dan ada juga ulama-ulama. Namun begitu usaha agama di Padang agak perlahan berbanding dengan Medan, Pekan Baru dan juga Jambi. Kesemua tempat ini telah pernah aku keluar di sana. Pekan Baru pada tahun 1985, Medan pada tahun 1997 dan Jambi 2006. Jadi dapat sedikit aku bezakan bentuk usaha agama di sana.

Di Padang usaha agama agak perlahan antara sebabnya adalah kerana pengaruh Salafi (Muhammadiah : pada peringkat awal) agak menebal. Ada beberapa orang karkun yang tinggalkan usaha dengan sebab pengaruh Salafi ini. Rata-rata masjid ada pengaruh Salafi yang sememangnya anti dengan Gulongan Mazhab. Ini makin ketara di kalangan pelajar universiti. Penentangan atas usaha Jemaah Tabligh agak kuat kerana fatwa Salafi bahawa Jemaah Tabligh ini adalah sesat. Banyak masjid usaha jemaah Tabligh tidak dibenarkan. Di samping itu ada juga gerakan yang lain seperti Gerakan Mujahidin, Ikhwan dan juga gerakan yang bersifat tempatan seperti Ikatan Masjid serta gerakan lain yang biasanya dipelopori oleh Parti Politik tempatan. Hasilnya usaha agak perlahan berbanding dengan negeri-negeri jirannya.

Antara perkara unik yang aku dapati adalah pemeliharaan anjing di rumah orang-orang Islam seperti memelihara kucing di sini. Malah ada ulama yang aku khususi pun memelihara anjing. Masjid lebih ramai wanita yang hadir daripada lelaki. Malah ada masjid yang pengerusinya (Ketua masjid) adalah perempuan. Ini berlaku kerana pengaruh adat perpatih yang begitu menebal. Lelaki lebih suka berada di warung makan berbanding di masjid. Bila usaha agama begitu lembab maka natijahnya amalan agama makin pudar. Satu pulau yang berdekatan hampir 80% penduduk Islam di sana telah murtad. Ada jemaah dari Kota Padang di hantar tetapi tidak cukup kuat berusaha di sana. Di kalangan karkun, alhamdulillah ada yang bersungguh-sungguh berusaha malah telah makin bertambah yang keluar 4 bulan namun usaha maqaminya agak perlahan. Malah ada yang telah keluar 4 bulan namun tiada taklim di rumah serta amal-amal yang lain.

Selain itu batasan aurat tidak dijaga dengan sempurna. Hanya yang benar-benar memelihara aurad adalah ahlia karkun yang lain hanya biasa sahaja dan ramai yang mendedahkan auradnya. Malah ada sesetengah masjid yang ada tempat mandiannya mereka mandi bogel tanpa sebarang rasa malu. Ini berlaku di hadapan mata kami sendiri. Hairannya tidak ada sebarang teguran dibuat.

Aku dijemput berkhutbah, sekali khutbah Aidul Adha dan sekali khutbah Jumaat. Di tempat lain juga ada jemputan namun aku tolak dengan baik bila dilihat pengaruh Jemaah Tabligh di tempat berkenaan agak lemah. Bayan markaz 3kali, sekali di markaz Kota Padang dan dua kali di Markaz Padang Panjang. Isi khutbah dan bayan, aku tekankan kepentingan usaha agama di kalangan semua peringkat gulongan. Malah jemputan khusus untuk ceramah kepada kaum ibu pun aku tekankan kepentingan usaha agama. Bila melihat keadaan demikian, 40 hari tidak mencukupi malah jemaah demi jemaah perlu dihantar ke sana.

Keresahan aku melihat masyarakat di sana aku gambarkan di dalam sajak Padang I dan Padang II yang terdapat di dalam posting Januari 2009 yang lalu. Di bawah ini aku sertakan sekali lagi sajak berkenaan:-

Padang I

Di Sini Di Padang Ini
Telah kembali Gersang
Tiada lagi pepohon Rendang
Yang Tinggal Hanya Puing-Puing
Ditelan Kemarau Masa

Di Sini Di Padang Ini
Tiada Lagi Kuntum Segar Berkembang
Menghiasi Sanggol Gadis Pingitan
Wangian Semerbaknya Telah Hilang
Yang Tinggal Hanya Nama

Ingin Aku
Menjadi Titik-Titik Hujan
Menyirami Padang Gersang itu

Agar Tumboh Kembali
Pepohon Rendang
Buat Bertedoh
Dari Kemarau Masa

Ingin Aku
Menjadi Titik-Titik Embun
Membasahi Padang Gersang Itu

Agar Kembali Kembang
Kuntum-Kuntum Berbunga
Menghiasi Sanggol Gadis Pingitan
Mewangi Pelusok Taman.

( Kota Padang Nov 2008 )


Padang II

Tersungkur Ego Dan Kibir Ku
Melihat Si Buta Meraba-Raba
Menadah Tangan Kosong

Tersungkur Ujub Dan Sumaah Ku
Melihat Si Kudong Merangkak-Rangkak
Menadah Tempurong Berlubang

Kasihan Si Buta Itu!
Kasihan Si Kudong Itu!

Oh Tuhan!
Mereka Tidak Seperti Ku
Bisa Melihat Tidak Meraba
Bisa Berjalan Tidak Merangkak

Dengan Tongkat Kalam Suci Mu
Dengan Bekalan Sabdaan Jungjungan Mu
Aku Bisa Berdiri Dan Belari

Ingin Ku Beri Tongkat
Dan Bekalan Milek Ku Itu

Pada Si Buta
Agar Tidak Meraba
Bisa Berjalan
Dengan Tangan Penoh Kasturi

Pada Si Kudong
Agar Tidak Merangkak
Bisa Berdiri
Dengan Bejana Emas Tersimpan

Berjalan Beriringan Dengan Ku
Menuju Mahligai Redha Mu.

(Kota Padang Nov 2008)

Sebenarnya Padang adalah tempat lahir berbagai ulama besar di Indonesia, Imam Bonjol, Kiyai H.Sulaiman Rasyid dan Prof.Dr. Hamka adalah berasal dari sini. Hari ini Padang telah musnah dengan gerak gempa. Ratapan, tangisan dan kesedihan oleh penduduknya hasil kesan dari bencana berkenaan. Semuga Allah swt mengembalikan Padang seperti peringkat awalnya dan ianya memerlukan usaha dan doa kita semua.

Insyaallah.

P/S : Jemaah akan dihatar ke sana secepat mungkin. Dan sekarang ini ada tasykil dari setiap Markaz Negeri di seluroh Malaysia.

Thursday, October 1, 2009

Postmortem Ramadhan 1430


Ramadhan telah pun beberapa hari meninggalkan kita. Suasana Ramadhan telah pun hampir-hampir hilang yang ada hanyalah suasana rumah terbuka (suasana makan minum). Tiada lagi kelihatan ahli jemaah membaca quran di penjuru masjid. Tiada lagi kedengaran suara bacaan quran di dalam tadarus. Al-quran yang sering dibaca oleh ahli jemaah telah pun di susun rapi di raknya, kembali seperti sebelum Ramadhan. Rehal yang dulunya sering diguna oleh ahli jemaah telah pun disimpan di dalam stor masjid. Ke mana perginya “Sahibul Quran”? Ke mana perginya ahli-ahli Tadarus? Telah hilang lenyapkah mereka?

Solat berjemaah kembali seperti sebelum Ramadhan, yang hadir adalah ahli jemaah biasa yang sememangnya sering hadir sejak sebelum Ramadhan. Solat suboh berjemaah yang hadir hanyalah beberapa orang. Sesetengah waktu ketiadaan imam, yang menjadi imam hanyalah orang yang singgah untuk bersolat dan anak muda pelajar IPTA yang masih bercuti. Di mana makmum yang sebegitu ramai pada masa Ramadhan? Di mana mereka-mereka yang ketika Ramadhan berlumba-lumba untuk berada di saf yang pertama? Di mana mereka yang masa Ramadhan berlumba-lumba untuk tunjuk suara mengumandangkan azan? Ke mana mereka semua pergi? Telah hilang lenyapkah mereka?

Waktu Sahur hanyalah kedengaran bunyi dengkuran dari mereka yang tidur nyenyak. Tiada lagi bunyi percikan air paip hasil dari berwudhuk untuk bertahajud. Tiada lagi kedengaran suara istighfar yang sayup-sayup kedengaran ditelan kesunyian malam. Di mana mereka yang “kaki Tahajud”? Di mana mereka yang dahinya hitam kesan dari sujud di malam hari? Di mana mereka yang selalu sibuk dengan solat sunatnya? Ke manakah perginya “Al mustaghfirina bil ashar”? Telah hilang lenyapkah mereka?

Tiada lagi si dia yang sentiasa dengan biji tasbih bertasbih di penjuru masjid menunggu waktu solat. Biji-biji tasbih yang tergantung di dinding masjid telah kembali tergantung. Tiada lagi yang ingin menggunakannya.Kemana perginya semua “zakirin” sewaktu Ramadhan ? Telah hilang lenyapkah mereka?

Beginilah keadaan Ramadhan yang ada di sisi kita. Sedangkan Ramadhan mengajar dan mendidik kita segala amalan takwa maknanya himpunan segala amalan takwa terdapat di dalam Ramadhan. Bukan hanya sekadar puasa sahaja tetapi di dalamnya terdapat bangun malam sebagaimana hadis riwayat Bukhari dan Muslim : 1901 / 759. Ramadhan mengajar kita bangun di waktu sahur selama satu bulan agar kita menjadi golongan yang bertahajud dan beristighfar di waktu sahur sebagaimana hadis riwayat Bukhari dan juga Muslim :1923/1095. Ramadhan berkait rapat dengan Quran agar kita menjadi “sahibul Quran” sebagaimana firman Allah Surah Al-Baqarah :185. Ramadhan mengajar kita berbanyak berdoa agar kita sentiasa mengharap dan meminta hanya kepada Allah swt juga sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Tarmizi :9741/3598. Ramadhan menjadi kita agar sentiasa berhubung dan berulang alik ke masjid dengan cara berkurung diri di dalam masjid dengan beriktikaf sebagaimana hadis riwayat Baihaqi :3966 . Ramadhan mengajar bersimpati dengan fakir dan miskin sebagaimana hadis Abu Daud dan Ibn Majah :1371/1817.

Berdasarkan perkara yang disebutkan di atas, Ramadhan sebenarnya mengajar umat ini kepada amalan takwa, amalan berkaitan hubungan dengan Allah serta amalan berkaitan hubungan sesama manusia. Atas sebab inilah maka di akhir ayat surah A-Baqarah 183 Allah swt berfirman “La’allakum tattaqun”. Moga-moga kamu tergolong dikalangan orang-orang yang “bertakwa”.

Sesetengah ulama mengatakan bahawa tanda haji yang “mabrur” yang diterima adalah apabila pulang dari mengerjakan haji, para-para hujaj (haji) dapat mengekalkan amalan takwa ketika di Tanah Suci pulang ke tempat mereka. Manakala tanda puasa yang diterima adalah mereka yang berpuasa dapat membawa amalan takwa di dalam Ramadhan ke sebelas bulan selain Ramadhan.

Bila dilihat selepas Ramadhan, jelas iman kita hanya terkesan dengan suasana. Bila hilang suasana maka hilanglah amalan kita. Tidak seperti sahabat r.hum, iman mereka tidak terkesan dengan suasana. Di mana sahaja mereka pergi mereka masih boleh mengekalkan amalan mereka malah mereka boleh merubah suasana lalai menjadi suasana taat.

Maka jelas dan terang bagi kita adalah merubah suasana yang ada kepada suasana iman dan amal ( suasana takwa) agar iman kita dapat dipelihara. Bagaimana? . . . . Cara Nabi saw. Bagaimana cara Nabi saw ? semua jemaah dan gerakan mengatakan cara mereka adalah cara Nabi saw. Cara yang hampir mirip cara Nabi saw. Bagaimana cara tu? Cara Tabligh ?

Jawapan Pertama :

Cara yang mirip cara Nabi saw sebagaimana firman Allah. “ Wahai orang yang berselimut. Bangunlah lalu berilah peringatan. Dan Tuhan kamu agongkan. Dan bersihkanlah pakaianmu. Dan tinggalkanlah segala(perbuatan) yang keji. . . .( Al-Mudatsir : 1- 5)

Sebagaimana di dalam ayat ini Allah swt memerintahkan Nabi saw untuk bangun merubah masyarakat yang penuh dengan kemaksiatan kepada ketaatan. Bangun dengan memberi peringatan kepada umat. Dan Nabi saw telah pun menjalankan usaha berkenaan dengan setiap pintu dan setiap individu memberi peringatan dengan kalimah ‘Lailaha illallah’. Maka cara yang sama untuk mengubah suasana kita sekarang ini dengan cara begitu. Cara yang hampir mirip dengan cara Nabi saw, dengan menceritakan mafhum kalimah kepada setiap individu dan ke setiap pintu. Insyaallah suasana kita akan berubah kepada suasana Ramadhan, suasana takwa untuk sepanjang tahun.

Jawapan Kedua :

Ramadhan mengajar kita simpati dengan mereka yang lapar dan dahaga. Buktinya tidak ada satu keinginan bagi mereka yang lapar dan dahaga adalah berhajat kepada makanan dan minuman. Dalam pada itu disabitkan dari hadis Nabi saw riwayat Ibn Khuzaimah kita di’sunat’kan memberi kepada mereka-mereka yang berbuka dengan makanan dan minuman miski pun sebiji tamar maupun sesisip susu setiap hari ketika waktu berbuka.

Kemuncak dari kesian belas kepada fakir dan miskin ini syariat telah menetapkan secara ‘wajib’(secara paksaan) membawa beras fitrah dan mencari fakir dan miskin (asnaf lapan) memberi kepada mereka agar mereka boleh bergembira menyambut Hari Raya. Jika tidak berbuat demikian, puasa mereka akan terawang-awang sehingga mereka menjelaskan zakat fitrah berkenaan. Ini untuk menzahirkan perasaan kesian belas kepada fakir dan miskin agar mereka tidak kelaparan dan kedahagaan.

Namun kelaparan dan kedahagaan masih boleh ditelan Nabi saw apabila beliau melihat anaknya Fatimah, cucunya Hassan dan Husain di dalam kelaparan serta anak-anak yang mati kelaparan di Lembah Abu Talib takala di pulaukan. Kalau memikirkan kesian kerana kelaparan dan dahaga, Nabi saw masih boleh menelannya. Namun kemuncak kesian Nabi saw adalah kasian kepada umat yang mati TANPA KALIMAH yang akan kelaparan dan dahaga ketika di kubur, Masyar , Mizan dan Neraka Jahanam selama-lamanya.

Inilah yang ditangisi oleh Nabi saw dan sahabat semalam-malaman memikirkan soal umat yang akan menderita kelaparan dan dahaga nanti. Ini juga yang menyebabkan Nabi dan sahabat meninggalkan keselesaan hidup dan bersusah payah atas jalan hidayat.

Fikir-fikirkan lah.

p/s : Semuga Allah swt memberi sedikit risau bimbang ini kepada kita semua. Insyaallah.

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin