MAKLUMAN :


widgeo.net

Saturday, August 29, 2009

Fatwa Mesir : Pemain Bola Boleh Tidak Berpuasa


Jabatan Tertinggi Agama Mesir telah mengeluarkan satu fatwa terkini bahawa pemain bolasepak Pasukan Kebangsaan Bolasepak Mesir dibenarkan untuk tidak berpuasa selama bulan Ramadhon bagi persediaan ke Perlawanan Internasional kata salah seorang pegawai pasukan berkenaan. Namun demikian kebanyakan pemain tidak bersetuju malah menolak fatwa tersebut.

Fatwa tersebut dikeluarkan menjelang Kejuaraan Bolasepak Dunia di Mesir pada 24 September 2009 nanti. Fatwa ini menyebabkan kemarahan beberapa NGO Islam di sana.
Dar al-Ifta, salah satu badan yang mempunyai kuasa mengeluarkan fatwa agama telah membenarkan para pemain membatalkan puasa mereka agar tidak ada gangguan selama sessi latihan berjalan bagi persediaan perlawanan dalam acara di bawah umur 20 tahun. Ini menurut jurucakap pasukan berkenaan Ala Abdel Aziz kepada AFP.
"Namun para pemain menolak fatwa tersebut. Mereka tetap meminta untuk tetap menjalankan ibadah puasa," katanya lagi.

Dar al-Ifta menjelaskan bahwa fatwa berkenaan dikeluarkan disebabkan pemain terikat dengan Kelab melalui kontrak yang telah dipersetujui dan wajib bagi mereka melaksanakan tugas tersebut walau pun dalam bulan Ramadhon. Maka ini perlu bagi mereka untuk berbuka sekiranya berdepan dengan pertandingan di Bulan Ramadhon. Ini dijelaskan lagi oleh pegawai dar al-ifta Ibrahim Nigm kepada AFP.

Fatwa yang sedia ada berbunyi "bagi mereka yang melakukan pekerjaan yang banyak mengeluarkan tenaga dan dapat menyebabkan tubuhnya menjadi lemah karena berpuasa, maka dapat membatalkan puasanya," kata Nigm lagi.

Hasil dari fatwa berkenaan barisan hadapan Ulama Al-Azhar mengeluarkan kenyataan di websites mereka menentang dan mencela fatwa berkenaan. Kata mereka ,”Bola hanyalah satu permainan bukannya satu urusan penting kehidupan sehingga sampai ketahap membolehkan membatalkan puasa Ramadhon.”
(Ehsan EraMuslim)

Targhib :

Demikianlah apabila manusia merasakan mainan (sukan) sebagai satu matlamat utama dalam kehidupan.Sehingga dihabiskan jutaan perbelanjaan demi untuk sukan dan dikorbankan setiap amalan demi untuk sukan. Ada yang berketurunan orang-orang agama tapi hancur amalan agama semata-mata dengan bola. Namun dalam pada itu masih ramai yang “converted” namun masih boleh menjaga amalan agama meski pun di saat perlawanan akhir peringkat Internasional sebagai contoh Frank Riberry dll.

Yang lebih kelakar dan lucu penuntun perlawanan bersifat “Interestet” pun ramai terkubur amalan agama. Gaya mengalahkan Frank Riberry tapi amalan . . . . .Na’uzubillah.

Tuesday, August 25, 2009

Si Tenggang Ramadhon 1430 H


(Petikan Dari Akhbar Metro Selasa 25 Ogos 2009)
Anak derhaka
Oleh Zarina Abdullah

KUALA BERANG: Berang selepas isterinya dituduh mencuri dua gelang emas, seorang lelaki sanggup menderhaka kepada emak kandungnya sendiri apabila tergamak membelasah warga emas itu hingga patah tangan kanan dan bengkak seluruh badan.

Pada mulanya, suri rumah malang berusia 62 tahun itu memanggil menantunya selepas mendapati dua gelang emas yang disimpan dalam sebuah beg di ruang tamu rumahnya hilang pada 15 Ogos lalu.

Dia bertanyakan menantunya yang berusia 20-an itu sama ada ternampak gelang yang disimpan dalam beg, tetapi isteri anak lelakinya itu menafikan pernah melihatnya.

Mangsa yang resah dengan kehilangan itu kemudian bertanyakan hal sama kepada anak lelakinya, tetapi dia kerap kali mengelak apabila diajukan pertanyaan mengenai barang kemas berkenaan.
Lelaki itu terus menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap ibunya yang didakwa menuduh isterinya mencuri dua gelang emas yang hilang.

Berikutan itu, berlaku pertengkaran antara mereka menyebabkan si ibu menuduh anaknya mencuri barang kemas itu dan bukan menantunya kerana perkara sama pernah berlaku di rumah itu sebelum ini.

Berang dengan tuduhan ibunya, lelaki itu mencapai sebuah basikal di halaman rumah berkenaan dan melontarnya ke dinding rumah sebelum menghilangkan diri.

Dia muncul semula 10 minit kemudian dengan membawa sebatang kayu dan terus menyerang ibunya dengan membelasah badan dan tangan kanan mangsa sebelum meninggalkan warga emas berkenaan kesakitan di halaman rumahnya.

Mangsa yang bengkak badan dan cedera di lengan kanan kemudian menemui seorang tukang urut untuk mengurut sebelum diberitahu lengannya patah berikutan kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Tengku Hamzah Tengku Abdullah, berkata berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Berang di sini, Sabtu lalu.

Mangsa dihantar untuk rawatan di Hospital Hulu Terengganu, disahkan patah tangan kanan berikutan kejadian itu.

Tengku Hamzah berkata, polis sedang memburu anak lelaki mangsa dan isterinya, masing-masing berusia 20-an yang menghilangkan diri selepas kejadian dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun.

Targhib :

Firman Allah swt “Dan Tuhanmu memerintahkan supaya janganlah kamu sembah, kecuali Dia dan berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika seorang di antara keduanya telah tua atau kedua-duanya, janganlah kamu katakan “Cis” kepada keduanya dan jangan kamu herdik keduanya dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang mulia (lemah lembut).” ( Al-Israak : 23 )
Banyak riwayat hadis meyebutkan perlunya sesaorang memuliakan ibubapanya. Kata sesetengah ulama kalaulah tidak ada sebarang ayat al-Quran dan hadith Nabi saw sekali pun berkaitan memuliakan ibubapa namun secara akali sesaorang itu perlu memuliakan ibubapanya.

Lihat sahaja pada ayat di atas, selepas tidak syirik (menyembah) kepada Allah swt maka arahan kedua dari Allah swt adalah berbuat baik kepada kedua ibubapa. Di tempat yang lain Firman Allah, “ Bersukurlah kepadaku dan kepada kedua ibubapamu”. Makna Allah mengambil tempat utama, sesudah itu memuliakan kedua ibubapa (khidmat kepada mereka). Sesetengah ulama mengatakan tidak diterima kebaktian kita kepada Allah melainkan kita perlu juga berbakti kepada ibubapa kita.

Mengapa ketaatan kepada Allah mengambil tempat utama? Ini adalah kerana tanpa rahmat dari Allah swt kita tidak mungkin lahir ke dunia ini. Kemudian, tanpa perantaraan kedua ibubapa kita juga tidak munkin kita lahir ke dunia ini. Maka setelah Allah swt, ibubapa mengambil tempat yang kedua.

Seorang telah bertanya kepada Rasulullah saw, “Apakah hak-hak ibubapa?” Nabi saw menjawab,” mereka adalah jannahmu dan juga jahanammu.” Antara balasan azab yang akan dikenakan disebelum kematian adalah dosa derhaka kepada ibu dan bapa. Ini juga bersabit dari beberapa hadith Nabi saw.
Di zaman Umar r.a, seorang tua telah dipukul oleh seorang pemuda tampan. Bila dilihat oleh orang ramai mereka meleraikannya. Namun orang tua berkenaan berkata, “Biarkanlah dia memukul aku, ini adalah balasan tuhan kerana ketika aku muda dahulu aku pun pernah memukul bapaku di sini, Biarkan dia memukul aku.”
Memang benar sabdaan Nabi saw bahawa Allah swt akan membalas sebelum mati. Nauzubillah.

Berita di atas memang membuktikan kita telah sampai di ujung zaman. Antara sabdaan Nabi saw tentang 15 perkara salah satunya adalah “Mentaati isteri dan menderhakai ibu sendiri.”

Saudara saudari semua marilah kita berbakti kepada kedua ibubapa kita. Hanya beberapa hari sahaj yang masih tinggal. Pasti satu waktu nanti mereka akan meninggalkan kita. Atau pun kita akan meninggalkan mereka.

Wallahu'alam

P/s : Semuaga mendapat ikhtibar.Insyaallah.

Monday, August 24, 2009

Ramai Remaja Yahudi Memeluk Islam



Jabatan Kehakiman Zionis Israel mencatat terdapat 249 kes permintaan pindah agama dan 83 kes berkait dengan agama Islam.

Di dalam laman web Al-Hayat menyatakan bahawa para rabi Yahudi semakin bimbang fenomena ini berlebih lagi ianya melibatkan remaja wanita Yahudi yang semakin ramai memeluk agama Islam. Menurut akhbar IRNA, lamanweb berkenaan menyatakan juga bahawa, seorang Rabi Yahudi berusaha menyembunyikan kebimbangan dan kecemasannya ketika menyatakan remaja wanita Yahudi yang telah memeluk agama lain tetap menjadi orang Yahudi.

Berdasarkan data yang diberikan, antara tahun 2005 hingga 2007, Jabatan Kehakiman Zionis Israel mencatat terdapat 249 kes permintaan mengubah agama dan daripada jumlah berkenaan 83 kes berkait dengan Islam.

Namun tahun lalu jumlah permintaan untuk menukar agama kepada Islam bertambah menjadi 112 kes yang menunjukkan kenaikan 35 peratus kecenderungan untuk memeluk Islam di kalangan remaja wanita Yahudi.

Berdasarkan laporan ini, semakin bertambahnya kes pembunuhan, aksi kekerasan dan rompakan di kalangan orang-orang Yahudi Zionis membuatkan mereka berpaling dari agama Yahudi.

P/S : Apakah ini semua salah satu tanda keberkatan dan kerahiman Ramadhon?

Sunday, August 23, 2009

Kisah Musa a.s Bagi Ikhtibar H1N1


Diceritakan bahwa Musa as. pernah mengeluh kepada Allah swt karana menderita sakit gigi. Maka Allah swt memerintahkan: “Ambillah rumput orang itu dan letakkan pada gigi kamu!” Lalu Musa a.s pun berbuat demikian, maka sakitnya pun sembuh.

Beberapa hari kemudian, sakit gigi yang dialami Musa a.s datang lagi. Maka Musa a.s pun mengambil kembali rumput yang pernah diambil dulu dan meletakkan pada giginya. Hasilnya bukan bertambah sembuh, sebaliknya sakit giginya bertabah teruk dari biasa. Lansung dari itu Musa a.s pun mengadu kepada Allah swt dengan katanya, “ Wahai Tuhanku, bukankan engkau mengarahkan aku untuk berbuat demikian tetapi mengapa ianya tidak melegakan aku?”

Allah swt menjawab: “Wahai Musa, Akulah yang menyembuhkan dan Akulah yang menyehatkan. Aku yang memberi bencana dan akulah yang memberi manfaat. Kali pertama kamu datang kepadaKu dan mengharapkan pertolongan Aku, lalu Aku sembuhkan sakit kamu. Sekarang engkau menuju kepada rumput dan tidak menuju kepada-Ku.”

( Petikan dari : “Nuruzh-Zhal├óm” karya Syekh Nawawi Banten dengan sedikit olahan )

Targhib :

H1N1 menjadi permasaalahan pada kita sekarang ini. Sedangkan yang menyembuh dan mendatangkan penyakit adalah Allah swt. Dia jugalah yang berhak menghilangkan penyakit selama mana kita kembali kepadaNya. Selama kita tidak medahului Allah swt, maka selama itulah kita akan mengeluh dengan segala wabak penyakit yang di datangkan.

Kalau kita lansung kepada ubat / penawar dan membelakangi Allah swt dua perkara mungkin akan berlaku.

Pertama : Sembuh dari sakit

Kedua : Akan terus menderita dengan penyakit berkenaan dan membawa kepada kematian.

Kalau kita sembuh dari sakit tersebut sekali pun namun sakit “dalaman” kita tidak akan sekali-kali sembuh. Penyakit keyakinan kepada “Ghairullah” tidak akan hilang sehingga mati. Hakikatnya penyakit ini lebih dasyat dan berbahaya dari penyakit zahir yang kita hidapi.Bayangkanlah kalau kematian datang menjemput pada ketika ini. Nauzubillah!

Sebaliknya kalau kita menderita dengan penyakit berkenaan dan membawa kepada kematian sedangkan dalaman kita masih sihat, keyakinan kita tidak rosak. Keyakinan kepada Allah akan bertambah kuat. “Ghairullah” akan keluar dari hati kita. Kita akan mati dengan keyakinan yang kuat pada Allah swt. Mafhum dari hadith Nabi saw kita dikira mati syahid dan segala dosa-dosa akan diampunkan oleh Allah swt.

Kita berhak memilih, jadi yang mana satukah pilihan kita?

(Lihat juga artikel : H1N1 Bagaimana Tindakan Kita)

Saturday, August 22, 2009

Selamat Menyambut Ramadhon Al-Mubaraq



Semuga Kita tergulong di dalam gulongan yang mendapat rahmat Allah, keampunan dan pembebasan dari api neraka.

Friday, August 14, 2009

PERGI TAK KEMBALI











( Sewaktu Mengenangi Kematian Asri Ibrahim Kumpulan Rabbani )

PERGI TAK KEMBALI

SETIAP INSAN PASTIKAN MERASA
SAAT PERPISAHAN TERAKHIR
DUNIA YANG FANA AKAN DITINGGALKAN
HANYA AMALAN YANG AKAN DIBAWA

TERDENGAR SAYUP SURAH DIBACA
SAYU ALUNAN SUARA
CEMAS DI DADA LEMAH TAK BERMAYA
TERBUKA HIJAB DI DEPAN MATA

SELAMAT TINGGAL PADA SEMUA
BERPIASH KITA SELAMANYA
KITA TAK SAMA NASIB DISANA
BAIKLAH ATAU SELAMANYA

AMALAN DAN TAQWA JADI BEKALAN
SEJAHTERA ,BAHAGIA PULANG....
KE SANA.

SEKUJUR BADAN BERSELIMUT PUTIH
REBAH BERSEMADI SENDIRI
MENGHARAP KASIH ANAK DAN ISTERI
APA MUNGKIN PAHALA DIKIRIM

TERBARING SEMPIT SELUAS PUSARA
SOAL BICARA TERUS BERMULA
SESAL DAN INSAF TAK BERGUNA LAGI
HANCURLAH JASAD DIMAMAH BUMI

BERPISAH SUDAH SEGALANYA
YANG TINGGAL HANYALAH KENANGAN
DIIRINGI DOA DAN AIR MATA
YANG PERGI TAK AKAN KEMBALI LAGI

( Vokal : Asri Ibrahim / Kumpulan Rabbani )


Targhib :

Memang benar mati pasti akan mendatangi kita, suka tak suka pasti ia akan datang. Mungkin segera mukin juga dilewatkan, namun bila sampai masa pasti tidak akan dilewatkan mau pun di kedepankan.

Firman Allah swt :
“Di mana jua kamu berada nescaya kematian akan mendapatkan kamu, miski pun kamu berada di dalam benteng yang tertinggi. . . . .” ( An-Nisa’ : 78 )

FirmanNya lagi :
“ Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Kami akan uji kamu dengan kejahatan dan kebajikan sebagai satu ujian dan kepada kami kamu akan di kembalikan.” (An Ambiya’ : 35 )

Untuk ini amat-amat perlu kita sibukan diri kita dengan amalan dan kerja-kerja agama dari disibukan dengan kedunian yang melalaikan, sehingga kita suka dengan kematiaan serta suka untuk bertemu dengan Allah swt.

Sebagaimana Sabdaan Rasulullah saw :
“Siapa yang suka bertemu Allah , maka Allah suka bertemunya. Sebaliknya sesiapa yang tidak suka bertemu dengan Allah, maka Allah pun tidak suka bertemu dengannya.” ( Dari Anas r.a : Abu Laits )

Sufian At-Sauri berkata ,” Hadith ini tidak bererti bahawa kesukaan mereka untuk bertemu Allah itu yang menyebabkan Allah kasih kepada mereka bahkan bererti kesukaan mereka untuk bertemu Allah kerana Allah kasih kepada mereka sebagaimana ayat “Yuhibbuhum Wa Yuhibbunahu” Allah kasih kepada mereka dan mereka juga kasih kepada Allah. Dalam hadith disebutkan jika Allah kasih kepada sesaorang maka disibukkannya dengan zikir dan selalu ingat kepadaNya.

Sewaktu hadith di atas di lafazkan oleh Rasulullah saw, sahabat-sahabat berkata , “Ya Rasulullah ! Kami semua tidak suka mati . “ Jawab Rasulullah saw, “ Bukan begitu tetapi seorang mukmin bila akan mati datang malaikat yang membawa khabar gembira kepadanya tentang apa yang dijanjikan Allah kepadanya sehingga ia suka dan senang bertemu Allah. Sebaliknya orang kafir jika akan mati datang malaikat mengancamnya dengan siksa yang akan dihadapinya sehingga ia tidak suka bertemu dengan Allah.”

Semuga Allah swt menjadikan kematian kita satu kematian yang menyukakan Allah dan menyukakan kita. Dimana lagi kematian yang menyukakan Allah kalau bukan mati di JalanNya.

“Allahumar Zukna Syahadatan Fisabilika Wa Ja’ala Mautana Fi Baladi Rusulik”

Thursday, August 13, 2009

SURAT ULAMA HIJAZ SYEIKH MUHAMMAD IBN ‘ALAWI AL-MALIKI RAH KEPADA SYEIKHUL HADITH MAULANA MUHAMMAD ZAKARIA RAH.



Di bawah ini surat tulisan tangan Ulama tersohor dari Hijaz Syeikh Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki rah yang ditujukan kepada Syeikhul Hadith Maulana Muhammad Zakaria rah. Surat ini di tulis selepas beliau menerima senaskah kitab karangan Maulana Khalil Ahmad Saharampuri rah “Bazlul Majhud”, kitab syarah Sunan Abi Daud. Kitab ini tekandung 20 jilid juga telah dicetak oleh al-Maktabah al-Imdadiyyah di Makkah al-Mukkaramah yang telah memasukan catatan tambahan Maulana Zakaria di dalam kitab berkenaan yang sememangnya Maulana seringkali terlibat dengan aktiviti keagamaan di Haramaian.



Terjemahan Surat Berkenaan :

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Yang Terulung, Ulama Hadith yang teralim. Yang memiliki turunan yang cemerlang, Yang sentiasa diliputi keberkatan ,Imam, Pendakwah, Tuan saya juga guru saya : Sheikh Maulanan Zakariyya semoga sentiasa dilidungi Allah.

Assalamualaikum wa Rahmatullah

Saya mengucapakan Selamat Tahun Baru Hijrah. Semoga Allah menghasilkan kemakmuran, keberkatan, kegembiraan dan kemesraan. Amin.

Saya mengucapakan berbanyak terima kasih di atas kesudian tuan mengirimkan kepada saya naskah kitab yang terulung, terkenal dan isi serta huraianya yang amat disanjungi, “Bazlul Majhud”, yang mana ianya diperindahkan lagi dengan huraian tuan. Semoga Allah memelihara, menjaga dan sentiasa bersama tuan serta memanjangkan umur tuan di dalam ketaatan dan kecemerlangan di dalam perhambaan diri padaNya. Dan juga semoga IaNya membolehkan kami mengambil menafaat dari tuan. Semoga tuan sentiasa diliputi kemakmuran.

Yang Hina dan disayangi,

Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki
(Khadam Kepada pelajar Umm al-Qura Universiti dan Masjidil Haram)

04/01/1394 H

Rujukan : Fihrist Ta’lifat-e-Shaykh, Volume 1, p. 346 (Saharanpur: Maktabah Yadgar-e-Shaykh, Ramadhan 1417H / Januari 1997 ) oleh Maulana Sayyid Muhammad Shahid Saharanpuri.

P/S : Lihat juga artikel Januari 2009 Blog Archive pada tajuk "Surat Syeikh Abd Fattah Abu Ghuddah Kepada Maulana Zakaria"

Sunday, August 9, 2009

ANTARA DUA KEBAHAGIAAN DAN DUA KESIHAN


Kisah Satu :

Sebuah kereta mewah Mercedes model terbaru meluncur dengan lajunya di salah satu lebuhraya di ibu kota. Di dalamnya terdapat dua orang suami isteri, dato dan datin yang sememangnya terkenal di daerah berkenaan. Namun kesedapan dan keselesaan dua penumpang tersebut dikejutkan dengan bunyi brek yang agak kuat. Lalu kereta Mercedes berkenaan tiba-tiba terhenti di tepi lebuhraya berkenaan. Bunyi brek tersebut juga mengejutkan sepasang suami isteri yang sedang bersembang santai di anak tangga di salah satu rumah stinggan di bawah lebuhraya berkenaan sedang si isteri mencabut rambut putih di kepala suaminya . Si suami berkain pelikat singkat bergulug tebal tidak berbaju duduk di anak tangga bawah manakala si isterinya berkain batik serta berbaju t-shirt lusuh duduk di anak tangga setingkat atas dari suaminya.

Sebaik sahaja dato dan datin berkenaan keluar dari kereta mewah mereka, keduanya merungut-rungut takut kelewatan sampai ke tempat tuju. Sambil membetulkan sanggulnya serta baju kebaya yang baru diambil dari butik terkenal di bandar tersebut si datin terus merungut-rungut. Manakala si dato juga membetulkan bush jecketnya, Si datin masih merungut-rungut. Katanya ,” Itu le bang, I dah cakap kat you, Merc yang baru you beli ni tak selesa lansung. Rupa je canggih tapi hampeh. Baik lagi yang dulu tu. Tapi you tak pernah pun dengar cakap I. Ni le first time I naik kereta jadi macam ni.” “ Aleh biasa le kereta tayar pancit kalau you nak yang tak pacit naik je ketapi lansung tak pancit-pancit. Dah beli keta baru untuk dia pun nak songeh-songeh lagi.” Jawab suaminya balek dengan sedikit meniggikan suara. Belum selesai kata-kata suaminya berakhir, si datin langsung menjawab spontan, “ Ye la! Ye la! Yang selalu naik keta ni I bukannya you. You asyik oversea! Oversea! Oversea! Itu je lah, nyampah betul I.”

Rupanya dato dan datin ni memang selalu bergaduh, kekadang masalah anak-anak, kekadang masaalah syarikat dan kekadang masaalah kahwin lagi seorang. Mereka jarang-jarang jumpa tapi kalau jumpa pasti bergaduh. Gelagat kedua-dua dato dan datin berkenaan diperhatikan oleh kedua-dua suami isteri penghuni stinggan tersebut. Dan kedua-dua dato dan datin tersebut pun menyedari yang mereka berdua diperhatikan oleh suami isteri berkenaan. Sambil dato itu melihat ke bawah ke rumah stinggan berkenaan ia juga mengarahkan datin berbuat demikian dengan katanya,”Cuba awak lihat kat bawah tu. Alang kah bahagianya mereka walau pun hanya hidup kat rumah setinggan.Tak ada kereta mewah, tak ada rumah mewah, tak berpakaian mahal tapi cukup bahagia, cukup rapat. Alangkah baiknya kita kalau macam mereka.” Ketika itu si isteri stinggan kat bawah tu masih lagi mencabut rambut putih serta mengusap-usap rambut suaminya. “Ye la memang bahagia, tak macam kita asyik bergaduh je.” Celah si datin dengan suara yang mula rendah.

Suami isteri stinggan pula bila menyedari mereka juga diperhatikan oleh kedua dato dan datin, si isterinya pun bersuara manja, “Abang tengok tu, alangkah bahagianya kedua orang kaya tu. Tengok je kat si isteri dia, sanggulnya, baju kebayanya bukan main lawa. Tengok pula make-up mukanya bukan main cantik. Kalau Tipah jadi macam tu alang kah bahagianya.” Sambil melihat kat atas si suami juga bersuara, “ Itu kau Tipah, aku pulak kalau macam suaminya alangkah bahagianya, dengan bush jecket, kasut hitam berkilat .Naik pula keta Mercedes , Maak ooi ! bahagianya aku, kau pula tu Tipah dok pula sebelah aku. Alangkah indahnya , alangkah bahagianya kita waktu tu.”
Angan-angan kedua-dua dato datin serta suami isteri stinggan itu hilang apabila kereta Mercedes itu selesai ditukarkan tayarnya oleh pemandu dato berkenaan dan meluncur semula ke distinasinya.

Kisah Dua :

Satu petang di satu tempat di Sungai Besi, aku bersama isteriku pergi menziarahi salah seorang isteri temanku juga seorang karkun yang baru beberapa hari selesai melahirkan anak ke empat mereka. Sesampai sahaja di kawasan kampong tersebut kelihatan beberapa wanita sekitar awal 40an sedang berbual-bual di laman salah sebuah rumah di situ. Aku mencari-cari kawasan parking yang sesuai agar tidak menghalang jiran-jiran temanku itu keluar masuk kenderaan mereka. Tempat yang paling sesuai untuk aku parking kereta aku betul-betul di hadapan wanita-wanita berkenaan berbual-bual yang hanya di seberang jalan sahaja berhadapan dengan mereka.
Sambil berbual-bual,ada di antara mereka yang menyusukan anak dengan tidak berselindung sedikit pun. Jelas kelihatan aurat yang sepatunya ditutup. Yang lain sambil berbual-bual dengan rancaknya dengan tidak menutup aurat (rambut ) mereka yang jelas terdedah dengan berbaju t-shirt biasa.Terhilai-hilai mereka ketawa.

Sebaik sahaja aku dan isteri keluar dari kereta , perbualan mereka tiba-tiba terhenti. Terdiam serentak, senyap seketika sambil setiap bola mata memerhatikan aku dan isteri aku yang berpurdah semua muka. Sambil memimpin isteri di tangan kanan dan anak kecil aku yang berumur dua tahun di sebelah kiri,kami menyeberangi jalan. Melihat itu, salah seorang dari mereka bersuara, “ Ih !, Ih !, Ih ! Kesiaan, kesiaan macam arang buta,” Celah pula seorang lagi yang masih menyusu anak kecilnya, “macam hantu kom-kom,”Sambil ketawa serta diikuti ketawa teman-temannya yang lain. Isteri aku pula bila melihat gelagat mereka , yang menyusu terdedah auratnya, yang hampir separuh umur masih terdedah aurat rambutnya dengan pakaian yang tidak sempurna berkata,” Ih ! Ih ! Ih ! kesiaan, kesiaan dah hampir separuh abad masih begitu. Masih tak kenal yang mana satu aurat dan bukan aurat. Kesiaaan !,” Hilaian ketawa mereka terhenti apabila kami masuk kerumah karkun, temanku itu.

Itulah dua ragam kehidupan manusia. Fikir-fikirkanlah.

P/s : Kisah di atas tidak ada kena mengena bagi yang MATI tapi kena mengena bagi yang HIDUP.

Thursday, August 6, 2009

Wabak H1N1 : Bagaimana Tindakan Kita ?



Di bawah ini catatan akhbar arus perdana hari ini 6 Ogos 2009 :

MELAKA CATATA EMPAT KEMATIAN DALAM TEMPOH SEMINGGU :
MELAKA 5 Ogos - Melaka mencatatkan empat kematian akibat wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) dalam tempoh seminggu dengan kematian pertama pada 28 Julai lalu.

KEBIMBANGAN JADI KENYATAAN :
JASIN 5 Ogos - Kebimbangan sepasang suami isteri terhadap wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) berakhir tragedi apabila anak kedua mereka berusia 12 tahun menjadi mangsa ke-10 virus itu.

PERAK REKOD LAPAN KES BARU :
IPOH 5 Ogos - Perak mencatatkan lapan kes baru selesema babi atau influenza A (H1N1) hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan sejak 15 Mei lalu sebanyak 80 kes.

H1N1 :JANGAN PANIK TAPI JAGA KEBERSIHAN :
BANDAR SERI BEGAWAN 5 Ogos - Jangan panik, jalani kehidupan seperti biasa tetapi golongan yang disenaraikan berisiko tinggi dan mendapat selesema diminta lebih berwaspada dengan tahap kesihatan masing-masing berikutan empat kematian terbaru yang dilaporkan hari ini akibat virus selesema babi atau influeza H1N1.

KUIS, KUIN DIARAH TUTUP :
KUALA LUMPUR 5 Ogos - Dua buah lagi institusi pengajian tinggi (IPT) terpaksa ditutup setelah sebahagian pelajarnya dikesan menghidapi penyakit seperti influenza (ILI).

KOLEJ SHAHPUTRA DIARAH TUTUP 9 HARI :
KUANTAN 5 Ogos - Kolej Shahputra di sini ditutup selama sembilan hari mulai hari ini sehingga 11 Ogos, ekoran penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

H1N1 : JOHOR CATAT KEMATIAN KEDUA :
JOHOR BAHRU 5 Ogos - Selepas kematian murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kenanga di sini Sabtu lalu akibat selesema babi atau influenza A (H1N1), hari ini seorang kanak-kanak lelaki pula menjadi mangsa terbaru virus itu di negeri ini.

TARGHIB :

Tidak ada satu pun wabak penyakit melainkan ianya adalah di dalam ketentuan Allah. Allahlah yang mengatur semua ini maka sepatutnya kepada Allahlah kita kembali. Sebagaimana kata Ibrahim a.s ,” Apabila aku sakit maka Dialah yang menyembuhkan”. Allahlah musabibul asbab yang menjadikan segala sebab. Dan Allah juga telah menentukan bahawa sekiranya manusia melakukan amal ketaatan maka pastinya yang diturunkan oleh Allah swt adalah rahmat ,ketenangan dan keberkatan. Namun sebaliknya jika manusia melakukan amal keburukan maka pastinya yang turun adalah bala, musibah dan kesengsaraan.H1N1 adalah juga sebahagian dari bala musibah dari Allah swt.

Firman Allah swt :
“Dan apa sahaja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh perbuatan tangan-tangan kamu sendiri. Dan Allah memaafkan sebahagian besar ( dari kesalahan-kesalahan kamu ). Dan kamu tidak dapat melepaskan diri ( dari azab Allah ) di muka bumi. Dan kamu juga tidak memperolehi seorang pun perlindung dan tidak pula seorang penolong selain Allah.” ( Asy-Syura : 30-31 )

Juga Allah swt berfirman :
“ Telah zahir kerosakan ( bencana, gerakgempa, wabak ) di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan-tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari ( akibat ) perbuatan mereka agar mereka kembali.” ( Ar-Rum : 41 )

Selain itu Ibn Umar r.a pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah saw pernah bersabda :
“Wahai puak Muhajiran, terdapat lima perkara jikalau kamu babitkan diri kamu di dalamnya maka bala bencana akan menimpai kamu. Sesuatu masyarakat yang mana perzinahan merata akan terdedah kepada wabak dan penyakit-penyakit yang baharu dan yang belum pernah didengari (diketahui ) sebelumnya……” ( Targhib )

Jelas dari ayat dan hadith di atas, jalan keluar adalah kembali kepada agama. Maksudnya kembali membetulkan amalan umat agar kembali kepada ketaatan kepada Allah swt. Berusaha untuk memperbaiki amalan kita semua dengan bersungguh-sungguh juga berusaha untuk mengajak orang lain untuk memperbaiki amalan mereka. Amalan yang jelas bagi menghindari H1N1 ini adalah amalan memakmurkan masjid.

Ini disabitkan dari hadith Nabi saw, dari Anas r.a mengatakan bahawa Rasulullah saw bersabda:
“Sesunggugnya Allah swt apabila menurunkan PENYAKIT dari langit ke atas ahli bumi dipalingkan dari mereka( penyakit tersebut ) sekiranya masjid dimakmurkan.”
( Riwayat Ibn Asakir )

Untuk ini kita perlu kembali kepada kaedah asal iaitu kembali memakmurkan masjid dan surau yang terdapat di tempat kita dengan amal-amal masjid, dengan melaksanakan anjuran Nabi saw dan amalan yang telah pun dilaksanakan oleh umat awal (sahabat ra.hum) ini perlu digembeling oleh kita bersama. Nusrahlah jemaah yang datang di tempat kita serta kita sendiri keluar beberapa hari untuk berada dibeberapa masjid dan surau dengan amalan memakmurkan masjdi. Yakinlah dengan cara begini Insyaallah musibah ini akan dapat dihindari pada diri, keluarga ,masyarakat dan negara kita amnya. Dalam pada itu kaedah yang ditentukan oleh pakar-pakar perubatan juga jangan kita tinggalkan sebagai jalan berusaha dan mencegah.

Wallahu’alam

Tuesday, August 4, 2009

Allah Kun Samak, Makhluk Mai Kun Samak.


"Kon Sawadei? Ban Yu Nai? Ma ki kon? Phom kea Ok Dakwah Si sip wan. Kea ok Phang Nga, Cun Pon, Ranong. We la ni dai put Thai nit noy."

Kata-kata tu aku ucapkan kepada jemaah 40 hari dari Pataya Thailand yang datang kat Marhalah aku beberapa hari yang lalu. Semua ahli jemaah tersebut 7 orang termasuk seorang dari Washington D.C. Di dalam jemaah tu hanya seorang sahaja yang boleh berbahasa Melayu.Ianya seorang ustaz yang pernah belajar di Patani dan Yala. Bergaul mesra serta nusrah penuh dengan jemaah ini mengimbau kembali pengalaman pertama aku ketika keluar di Thailand kira-kira 26 tahun yang lalu.

Pada tahun 1983 aku dan beberapa orang teman diputuskan keluar di Thailand. Kami bertolak dari masjid India ke Thailand melalui Kelantan. Sampai di Markaz Yala, kami berada sekitar tiga hari untuk program ijtimak zon selatan, Thailand. Selepas tiga hari ijtimak, aku , Hasnan (syura Kelantan) dan Abd.Rahman dalam satu jemaah dengan beberapa orang Thailand diputuskan keluar di kawasan Phang Nga Bay, Ranong dan sekitarnya. Seingat aku ahli jemaah kami sekitar 13 orang dan amir jemaah adalah Hasnan. Kami bertolak dengan menaiki pick-up yang biasa di gunakan oleh orang Thailand selepas waktu Asar. Bayangkan 13 orang kami bersesak menaiki pick-up berkenaan di tambah lagi dengan beg-beg serta dua orang Rahaba. Kami sampai di Ranong besok malamnya selepas bermalam satu malam di Hatdyai.

Disebabkan bahasa menjadi sedikit masaalah, maka aku membuat keputusan untuk mempelajari sedikit sebanyak Bahasa Thailand. Alhamdulillah aku dapat berbual dalam bahasa Thailand dan kekadang aku diputuskan menjadi mutakalim dan beri iklan di dalam Bahasa Thaland. Setakat ini belum boleh terjemah. Masih banyak yang kena aku pelajari.

Usaha di Thailand ketika itu terlalu baru, hampir semua tempat yang kami masuk adalah tempat yang pertama kali kedatangan jemaah. Sambutan teramat bagus dari orang-orang tempatan miski pun bahasa menjadi masaalah kepada kami. Bayan dalam Bahasa Melayu dan diterjemahkan ke dalam Bahasa Thailand. Setiap program pasti akan dipenuhi dengan jemaah. Selain orang-orang Islam berketurunan Melayu kami juga berjaya mengumpulkan orang Islam yang berketurunan Pakistan dan India tetapi amat sedikit dan kebayakannya telah berkahwin dengan wanita tempatan. Selain itu seorang lanun dari Phanga Bay serta berpuloh yang lain yang dapat dikeluarkan di Jalan Allah. Phnga Bay sememangnya pusat lanun ketika itu yang sering merompak bot dagang di Selat Melaka.

Perkara yang agak mengejutkan kami yang biasanya di Malaysia kita meletakan kunci di hadapan sewaktu bersolat tetapi di Thailand mereka meletakan pistol di hadapan sewaktu bersolat. Bukan semua ahli masjid berbuat demikian hanya sesetengah masjid sahaja. Bagi kami orang Malaysia ianya satu perkara yang tak pernah kami lihat.

Route terakhir kami adalah di satu pulau yang perjalanan dengan bot laju memakan masa 4 jam. Ianya melalui lagoon yang berbatu. Pulau berkenaan dikenali sebagai pulau Kok Singhai yang berdekatan dengan Tanah Besar Burma dan amat mengejutkan kami sesampai sahaja kami di sana kami disambut dengan Loghat Utara (Kedah/P.Pinang). Kesemua penduduk dipulau itu adalah berasal dari Utara Malaysia. Mengikut cerita orang tua penduduk tempatan, bapa dan datok mereka sememangnya orang Malaysia yang melarikan diri ketika berlaku pencerobohan Tentera Jepun Ke Malaya. Kebanyakan mereka berasal dari Kuala Sala, Kuala Kedah, Kuala Perlis, Pulau Pinang serta Pulau Langkawi. Disebabkan aku orang Kuala Kedah maka aku menjadi perhatian penduduk tempatan. Masing-masing akan membawa aku pulang ke rumah.

Selama tiga hari berpuloh-puloh rumah yang telah aku ziarahi sehingga mereka mencalunkan aku untuk berkahwin dengan wanita tempatan. Tu le yang paling aku seram waktu itu. Tiga orang kami orang Malaysia aku le yang paling muda serta cukup rapat dengan mereka berlebih lagi dengan pertuturan loghat Kedah yang aku ucapkan. Malah aku merasakan seolah-olah buat usaha di satu tempat di Kedah. Ketika berpisah dengan penduduk pulau berkenaan adalah saat-saat yang paling menyedihkan. Ramai yang datang menghatar kami sehingga ke jeti bot serta berpelukan dengan menangis-nangis. Malah ada diatara mereka yang menghatar kami sehingga ke Bandar Ranong.

Selepas itu Hasnan dan Abd.Rahman pulang ke Malaysia. Aku pula mengikuti rombongan orang-orang Ranong ke Ijtimak Maesod di Utara Thailand bersempadan dengan Burma.
Setelah pulang ke Malaysia, aku menceritakan pengalaman aku di sana kepada emak dan arwah datok aku. Mereka terkejut dengan cerita aku serta datok aku mengiakan cerita orang-orang Pulau Kok Singhai itu. “Mamang ada orang Kuala Kedah, Kuala Sala ,Pantai Merdeka yang ke sana”, katanya kepada aku.

Setelah 10 tahun berlalu pihak Kerajaan Malaysia telah membawa pulang sebahagian orang Melayu di sana ke penempatan di Bukit Malut, Pulau Langkawi serta sebahagian besar mereka menjadi warga Malaysia.

Hari ini (mengikut laporan jemaah Thailand) usaha Tabligh di kawsan berkenaan begitu maju. Usaha masturatnya juga begitu maju serta banyak jemaah yang dapat dikeluarkan.

Wallahu’alam.

“Kon ka phom yu nai Kalimah liu kan pie kan. Allah kun samak makhluk mai kun samak. Lang namat Maghrib mie Banyai sesena Islam dai pai Masjid prom-prom. Insyaallah.”
Makna dia : “ Awak dan saya berada di dalam kalimah yang sama. Jadi kita bersaudara. Allah berkuasa namun makhluk tidak ada kuasa. Selapas solat Maghrib ada ceriat agama (Islam). Boleh datang masjid sama-sama. Insyaallah.”

P/s : Cerita di atas menambah ransangan untuk aku keluar kembali ke Thailand. Doakan untuk aku dan ahlia aku yang bercadang keluar masturat ujong tahun ini 40H Insyaallah ke Thailand.

Monday, August 3, 2009

Al- Fatihah : Jawapan Kepada Persoalan Saudara “Zikir”


Soalan :

Salam Ustaz.. Surah Al Fatihah tu Nabi saw terima sendiri drpd Allah swt semasa Mikraj? minta pencerahan..

Jawapan :

Surah yang awal di dalam al-Quran dinamakan Surah al-Fatihah kerana ianya juga dikenali sebagai “Pembuka Kitab” maka ianya diletakan dipermulaan kitab al-Quran. Panggilan sebagai Surah al-Fatihah telah dikenali semejak zaman permulaan nubuwwat.

Pendapat yang lebih kuat menyatakan bahawa Surah ini diturunkan di Makkah dan ianya tergulong di dalam ketagori ayat-ayat ‘Makiyyah’.Di dalam Asbabun Nuzul karangan Al-Wahidi menyatakan bahawa surah ini telah diturunkan di Makkah. Selain itu juga terdapat di dalam riwayat Ali bin Abi Talib r.a bahawa surah ini telah diturunkan di Makkah.

Menurut satu riwayat yang lain dari Abu Syaibah di dalam al-Musannaf dan riwayat Abu Naim dan Baihaqi di dalam Dalailun Nubuwwah serta As Tsa’labah dan Al-Wahidi dari hadis Amer bin Syurahbil bahawa setelah Rasulullah mengeluh pengalamannya kepada isterinya Khadijah r.aha tentang kedatangan Jibrail a.s namun datang lagi wahyu seterusnya dengan katanya,”Ya Muhammad katakanlah : Bismillahi rahmani rahim alhamdulillahi rabbi'alamin ....sehingga sampai kepada ‘waladholin.”

Di dalam riwayat Ibn Anbari yang menyatakan ia menerima dari riwayat Ubadah bin Samit r.a bahawa surah Fatihatul Kitab ini memang diturunkan di Makkah. Walau pun ada yang berpandangan bahawa surah ini diturunkan di Madinah namun pandangan ini bukanlah pandangan jumhur ulama. Hanya sebahagian kecil yang berpandangan begitu. Namun bila dilihat kefardhuan solat berlaku di Makkah serta setiap solat difardhukan membaca Surat Fatihah maka sepakat ulama mengatakan bahawa ianya turun di Makkah. Sesuai dengan hadis :-

Dari Ubadah bin Somit r.a dari Rasulullah saw bersabda,” Tidaklah sah solat bagi sesiapa yang tidak membaca Fatihatul Kitab.” (Riwayat Al-Jamaah)

Jadi ianya bukanlah ketika berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah saw.

Wallahu’alam
(Rujukan : Tafsir Al-Azhar Jld 1 : 60 / Bahrul Maazi Jld 20 :119)

Saturday, August 1, 2009

Program Kuliah Ogos/September (Ramadhon) 2009



Program Kuliah Ogos 2009
1 Ogos 2009 (Sab) : Kuliah Suboh Bahrul Maazi Tmn R.Mewah/Cempaka 2
1 Ogos 2009 (Sab) : Kuliah Israk Mikraj Surau Pantai
2 Ogos 2009 (Ahd) : Kuliah Israk mikraj Masjid Semarak,Nilai.
3 Ogos 2009 (Isn) : Kuliah Bulanan Tmn Cempaka Fasa I
4 Ogos 2009 (Sel) : Kuliah Hadith Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
6 Ogos 2009 (Kha) : Kuliah Bulanan Tmn Desa Melor.

7 Ogos 2009 (Jum) : Ceramah Jemputan Bt.9 Telok Kemang P.Dickson
8 Ogos 2009 (Sab) : Kuliah Suboh Tmn Rasah Kemayan.
9 Ogos 2009 (Ahd) : Kuliah Bulanan Tmn Dato Wan, Ampangan
10 Ogos 2009 (Isn) : Kulian Zohor MAS Hanger 6,
10 Ogos 2009 (Isn) : Kuliah Bahrul Maazi Jld 15 Tmn Seri Pagi
11 Ogos 2009 (Sel) : Kuliah Hadis Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
13 Ogos 2009 (Kha) : Kuliah Bahrul Maazi Jld.1 G/Home (S.Ibrahim)
14 Ogos 2009 (Jum) : Kuliah Bulanan Tmn Matahari Height

15 Ogos 2009 (Sab) : Kuliah Suboh Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
16 Ogos 2009 (Ahd) : Kuliah Suboh Bulanan Masjid Bongek, Rembau.
16 Ogos 2009 (Ahd) : Tazkirah Zohor Tmn Matahari Height.
17 Ogos 2009 (Isn) : Kuliah Bulanan Tmn Gadong Jaya.
18 Ogos 2009 (Sel) : Kuliah Hadith Tmn Rose Mewah/Cempaka 2
20 Ogos 2009 (Kha) : Kuliah Bulanan Pengasih, K.Lumpur.

Program Bulan Ramadhon Al-Mubarak 1430 H
22 Ogos 2009 (Sab) : Kuliah Suboh Ramadhon Tmn Rose Mewah
23 ogos 2009 (Ahd) : Kuliah Suboh Ramadhon Tmn Lavender Height
24 Ogos 2009 (Isn) : Tazkirah Ramadhon Tmn Rose Mewah
25 Ogos 2009 (Sel) : Tazkirah Ramadhon Tmn Jasmine.
27 Ogos 2009 (Kha) : Tazkirah Ramadhon Tmn Seri Pagi.

28 Ogos 2009 (Jum) : Tazkirah Ramadhon Garden Home (Surau Jumaat)
29 Ogos 2009 (Sab) : Kuliah Suboh Romadhon Tmn Rose Mewah.
30 Ogos 2009 (Ahd) : Kuliah Suboh Ramadhon Surau Ibrahim G/Home
30 Ogos 2009 (Ahd) : Tazkirah Ramadhon Tmn Cempaka Fasa I
31 Ogos 2009 (Isn) : Kuliah Suboh Ramadhon Tmn Gadong Jaya.

Program Kuliah September 2009/Ramadhon 1430 H

1 Sept 2009 (Sel) : Tazkirah Ramadhon Tmn Desa Oked
1 Sept 2009 (Sel) : Tazkirah Ramadhon Kilang NXP
2 Sept 2009 (Rab) : Tazkirah Ramadhon Kastam Seremban.
2 Sept 2009 (Rab) : Tazkirah Ramadhon Samsung SDI
3 Sept 2009 (Kha) : Tazkiran Ramadhon Tmn Pinggiran Senawang
4 Sept 2009 (Jum) : Tazkirah Ramadhon Tmn Anggerik.
5 Sept 2009 (Sab) : Kuliah Suboh Romadhon Tmn Rose Mewah.
6 Sept 2009 (Ahd) : Kuliah Suboh Ramadhon G/Home Surau Jumaat
7 sept 2009 (Isn) : Kuliah Zohor Ramadhon Kilang NXP
8 Sept 2009 (Sel) : Kuliah Zohor Ramadhon Kilang NXP
9 Sept 2009 (Rab) : Kuliah Zohor Ramadhon Kilang NXP
10 Sept 2009 (Kha) : Kuliah Zohor Ramadhon Kilang NXP
10 Sept 2009 (Kha) : Tazkirah Ramadhon Tmn Gadong Jaya
12 Sept 2009 (Sab) : Tazkirah Ramadhon Tmn Pinggiran Senawang.
13 Sept 2009 (Ahd) : Tazkirah Ramadhon Lavender Height.
16 Sept 2009 (Rab) : Tazkirah Ramadhon Samsung SDI

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin